Aduan terbuka ibu pelajar kepada Menteri Pendidikan

 

Seorang ibu pelajar Kolej Matrikulasi Kedah membuat aduan terbuka kepada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengenai nasib yang menimpa pelajar di kolej berkenaan.

Aduan terbuka itu dikongsi kartunis Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwarule Haque di Facebook Zunar Cartoonist Fan Club beliau hari ini.

Dalam aduan itu, ibu tersebut mendakwa elaun kepada pelajar-pelajar di Kolej Matrikulasi Kedah tidak menentu akhir-akhir ini sehingga pihak kolej terpaksa mewujudkan ‘dapur jalanan’ bagi membantu pelajar.

Berikut aduan terbuka kepada Menteri Pendidikan:

Kolej Matrikulasi Kedah gagal bayar elaun, pelajar putus duit. Seorang ibu (yang tidak mahu namanya disiarkan) memberitahu bahawa elaun kepada pelajar-pelajar di Kolej Matrikulasi Kedah sudah jadi tidak menentu sejak akhir-akhir ini.

Menurut beliau, setiap pelajar sepatutnya diberi peruntukan secara bulanan sebanyak RM250 oleh kolej tersebut. Dan sebelum ini pelajar-pelajar biasanya mendapatnya di setiap awal bulan.

“Tetapi sejak Mei tahun lepas, elaun sudah mula tidak menentu. Kadang-kadang, tengah bulan baru dapat, kadang-kadang membawa sehingga ke dua bulan,” kata beliau.

“Terbaru, kali akhir elaun dibayar awal Disember tahun lepas. Namun hingga sekarang, sudah masuk ke hujung bulan kedua (Januari), namun elaun tersebut belum diterima oleh para pelajar.”

Menurut beliau yang anaknya turut belajar di situ, keadaan ini menimbulkan kesulitan kewangan dan mengakibatkan pelajar-pelajar sering mengalami ‘putus duit’.

“Saya sudah membawa perkara ini ke pihak kolej dan mereka memberitahu bahawa mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana tidak menerima peruntukan dari Kemmenterian Pendidikan.”

Tambahnya, pihak kolej cuba membantu dengan membuat konsep ‘dapur jalanan’ untuk menyediakan makanan asas seperti roti dan kopi kepada pelajar-pelajar yang ‘putus duit’ tetapi ia masih tidak dapat menyelesaikan masalah kelambatan elaun ini.

Selain itu, katanya bekalan air, terutama di asrama lelaki juga sering terputus kerana sisitem paip yang sudah rosak dan daif. Jawapan dari pihak kolej juga sama, iaitu tiada peruntukan dari Kementerian Pendidikan bagi memperbaikinya.

Ibu tersebut berharap Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik turun tangan dan menyelesaikan masalah ini dengan segera.-UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker