Senarai didakwa Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim baharu

Satu senarai yang didakwa sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang baharu tersebar di media sosial.

Dalam senarai itu calon Pilihan Raya Umum dari Amanah, Nik Omar Nik Abdul Aziz didakwa sebagai Yang Dipertua Yadim sementara Pengarah Hal Ehwal Syariah Amanah, Zolkharnain Abidin pula merupakan Timbalan Yang Dipertua Yadim.

Sepuluh Ahli Lembaga Pemegang Amanah juga didakwa terdiri daripada lantikan politik termasuk Ahli Dewan Udangan Negeri Paloh, Sheikh Omar Baghrib Ali yang merupakan ahli DAP.

Turut berkongsi senarai itu adalah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki di Facebook beliau yang mempersoalkan pelantikan tersebut.

“Mana dia janji-janji Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang kononnya tiada lagi lantikan politik dalam agensi-agensi Kerajaan, Badan-badan Berkanun, GLC atau yayasan berkaitan kerajaan?

“Terkini, hampir semua lantikan baru Ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALPA) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia terdiri daripada penjawat-penjawat jawatan parti dari kalangan Amanah, PPBM, PKR dan DAP,” kata Asyraf Wajdi.

Dalam hantaran itu Asyraf Wajdi turut berkongsi senarai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim yang dilantik ketika zaman pemerintahan Barisan Nasional.

“Boleh lihat perbandingan dengan waktu zaman BN dulu, hanya seorang sahaja yang terlibat aktif dengan politik, itupun atas kapasiti Menteri Agama Sabah, yang lain merupakan tokoh akademik, mufti, agamawan dan bekas-bekas pegawai kanan kerajaan.

“Mungkin inilah acuan Malaysia Baharu Rahmatan Lil Alamin model kekanda YB Dr. Mujahid Yusof Rawa,” kata Asyraf Wajdi.

Sinar Harian semalam melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa yang ditugaskan menjaga hal ehwal Islam mengesahkan Sheikh Omar Ali dilantik sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim selepas beberapa portal berita melaporkan pelantikan anggota DAP itu.

Sementara itu semakan di laman sesawang Yadim di http://www.yadim.com.my mendapati senarai Ahli Lembaga Pemegang Amanah masih lagi nama pelantikan lama.-UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker