Dap bakal mencorakkan Yadim ?

Penstrukturan Yadim menyimpang matlamat penubuhan

Pas menyifatkan penstrukturan baharu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di bawah Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan membawa badan amanah itu menyimpang jauh daripada matlamat asal penubuhannya pada tahun 1974.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyudin Hassan berkata, pihaknya meragui dasar dan pendekatan baharu Yadim akan mencapai matlamat penubuhannya untuk menyelaraskan kegiatan badan-badan dakwah serta badan bukan kerajaan (NGO) berteraskan Islam akan dapat dicapai.

Beliau berkata, sebaliknya Yadim akan berubah menjadi entiti untuk kepentingan politik PH berdasarkan komposisi Ahli-ahli Lembaga badan itu yang kini dibarisi sebahagian besarnya dalam kalangan pimpinan parti-parti PH termasuk dari DAP.

“Bagi Pas perlantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, Sheikh Omar Ali, sebagai salah seorang Ahli Lembaga Yadim memperlihatkan Kerajaan PH akan membiarkan Yadim turut dicorakkan oleh DAP walaupun DAP selama ini tidak pernah bersetuju dengan sebarang dasar Islam walaupun tidak langsung melibatkan rakyat Bukan Islam.

“Ini termasuklah sikap DAP terhadap peruntukan-peruntukan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai kedudukan Islam dan institusi agama Islam, usaha memperkasakan Mahkamah Syariah dan perlaksanaan Syariat Islam di negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Mujahid Yusof bahawa perlantikan Sheikh Omar adalah sesuai kerana kelayakannya yang memiliki Ijazah bidang Usuluddin amatlah dangkal kerana sebagai seorang ADUN DAP, beliau terikat kepada dasar-dasar DAP bukannya kepada ilmu yang dipelajarinya.

Katantya, masih ramai lagi tokoh-tokoh agamawan yang lebih berwibawa dari segi ilmu dan mendapat keyakinan umat Islam berbanding Sheikh Omar yang walaupun bukan keturunan ‘Sheikh’, boleh dilantik menduduki Ahli Lembaga Yadim.

“Pas menyeru Kerajaan mengkaji semula struktur keanggotaan Yadim demi memastikan Yadim tidak lari dari matlamat asal penubuhannya terutama visinya iaitu “menerajui urusan dakwah berdasarkan al-Qur’an dan as-Sunnah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker