Isu Manogaran: SPR tiada gigi, fakta atau auta?

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) tiada gigi, bukannya memilih mangsa. Itu rakyat Malaysia jangan salah faham sehingga menuduh Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berat sebelah hanya kerana beliau dilantik ketika era kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Sebab itu, sampai la ni, Azhar tidak boleh umumkan tindakan ke atas calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands, M. Manogaran kerana memakai baju logo parti dalam pusat pengundian seperti yang tular satu Malaysia.

Itulah realitinya walaupun undang-undang memang ada yang dinamakan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Hukuman pun disebut dalam Seksyen 27 (1), antaranya denda dan larangan bertanding.

Namun menguatkuasakan dan mendakwa, itu tiada dalam bidang kuasa SPR. Dalam akta menyebut pasukan penguat kuasa diketuai polis untuk tempoh pilihan raya. Pendakwaan pula hanya boleh dilakukan oleh Jabatan Peguam Negara yang kini diketuai Tommy Thomas.

Itu atas kertas, rakyat apatah lagi warganet mempunyai persepsi mereka. Ini perlu diuruskan dengan meyakinkan kerana jika tidak, ia mampu menghakis kepercayaan satu institusi yang mengendalikan proses penting dalam demokrasi.

Apatah lagi, pemimpin PH sendiri seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyerahkan kepada SPR untuk memutuskan isu Manogaran tetapi dalam masa sama SPR pernah kata mereka tiada bidang kuasa menyiasat dan menghukum kesalahan pilihan raya.

Cuma sedikit mengurangkan kusut, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu SPR agak kurang jadi sasaran, tidak seperti sebelumnya seolah suruhanjaya itu pun bertanding sama. Pengundi hantu dan macam-macam lagi sudah tidak kedengaran dimainkan pembangkang.

Justeru, apabila wujud pelanggaran yang jelas kepada akta, tindak-tanduk SPR harus membawa keyakinan rakyat, tidak cukup dengan status dalam Twitter merintih tiada kuasa mendenda atau menghukum.

Memang keadilan bukan bermakna terus menghukum, tetapi sementara proses siasatan mengambil masa, persepsi perlu diuruskan bukan diburukkan. Ada juga yang tanya laporan polis SPR ke atas Manogaran dan sebagainya.

Apa pun lebih penting ke depan, SPR kena serius minta ‘gigi’ dengan orang mempunyai kuasa bukan bercakap dengan warganet. Contoh telah Azhar beri mengenai bidang kuasa Electoral Comission United Kingdom (UK) yang boleh mendenda parti politik. Sokong sangat kalau SPR diberi gigi taring.- UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker