Ramli sedia berkhidmat untuk 30,000 ‘bos’

Share

Komitmen dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di sini menjadi keutamaan utama Ahli Parlimen Cameron Highlands yang baharu, Ramli Mohd. Nor.

Menurutnya, keyakinan dan kepercayaan rakyat dengan memilih beliau sebagai wakil mereka tidak akan disia-siakan malah amanah itu perlu digalas sebaiknya.

“Sebagai Ahli Parlimen, tugas saya adalah memberi khidmat kepada rakyat dan hari ini tanggungjawab itu telah pun bermula.

“Saya mempunyai kira-kira 30,000 ‘bos’ (penduduk) yang perlu diberikan khidmat. Selepas ini, saya akan lihat dan selesaikan masalah mereka baik dari segi ekonomi, kemudahan dan pengangkutan awam serta masalah kesesakan lalu lintas,” katanya ketika ditemui selepas melawat Pasar Pagi Tanah Rata di sini hari ini.

Lawatan tersebut merupakan lawatan pertama secara rasmi selepas beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen Cameron Highlands semalam.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang berakhir semalam, Ramli yang merupakan bekas pegawai kanan polis daripada Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 3,238 undi.

Ramli memperoleh 12,038 undi mendahului calon Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran dengan 8,800 undi serta dua calon Bebas, Sallehuddin Ab. Talib (314) dan Wong Seng Yee (276).

Dengan kemenangan itu, Ramli yang merupakan anak tempatan dan berketurunan Orang Asli mencipta sejarah apabila menjadi Ahli Parlimen pertama daripada keturunan Orang Asli di Dewan Rakyat. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply