Alamak Raya Lagi tiada unsur negatif – De Fam (Video)

Alamak Raya Lagi tiada unsur negatif – De Fam (Video)

Umpama serangan virus, fenomena dicetuskan single Alamak Raya Lagi! oleh kumpulan De Fam pantas menular hingga merentasi sempadan negara.

Bukan sahaja di corong radio, malah, lagu berentak rancak dendangan trio Azira Shafinaz, Sophia Liana dan Cik Manggis itu ‘meledak’ dalam media sosial dan menjadi sohor kini sepanjang musim perayaan ini.



Namun, di sebalik keterujaan De Fam meraikan kejayaan lagu itu, timbul perdebatan dalam kalangan warganet termasuk individu berpengaruh yang mempersoalkan lirik single berkenaan.

Ada dakwaan menyebut judul lagu Alamak Raya Lagi! membawa makna negatif dan bertentangan dengan tujuan sebenar umat Islam meraikan Aidilfitri.

Tenang menepis tuduhan yang didakwa tidak berasas, Sophia yang juga antara penulis lirik menjelaskan, pengertian judul Alamak Raya Lagi! bukanlah bermaksud mereka mengeluh dengan kehadiran bulan mulia.

Sebaliknya, Sophia berkata, ia hanyalah gambaran kepada kekecohan berlaku ketika membuat persiapan menyambut Syawal seperti yang sering dilihat dalam kalangan masyarakat hari ini.



“Mewakili semua penulis lirik dan komposer lagu, kami faham unsur negatif dimaksudkan.

“Sejujurnya, kalau dilihat dalam video muzik lagu, ia menceritakan kisah yang belum pernah ada dalam sejarah pembikinan lagu raya iaitu kekecohan dan kelam kabut ketika buat persiapan sambut raya.

“Apa yang cuba kami gambarkan, suasana kecoh sebenarnya. Tak usahlah fikir terlalu mendalam mengenai lagu ini kerana ia adalah hiburan semata-mata,” katanya kepada BH Online.

Tambah Sophia, apa yang dipaparkan dalam lirik itu adalah berdasarkan pengalaman pernah dilaluinya.



“Warga kota selalunya beli sahaja kuih raya. Jadi, kita rasa apa yang dipaparkan dalam lirik lagu ini tiada kaitan dengan kita.

“Tetapi, semua ini berbeza dengan apa yang berlaku di kampung. Ketika balik kampung sambut raya, saya memang nampak ibu saudara dan sepupu masak rendang dan buat kuih sendiri.

“Kadang-kadang ada kuih dibuat tidak menjadi dan hangus sampai kena buat semula. Semua ini adalah realiti yang berlaku pada ketika Hari Raya.

“Lagu Alamak Raya Lagi! ini dihasilkan sempena Aidilfitri mengejut yang berlaku pada 2022 hingga membuatkan ramai yang kalut buat persiapan pada saat akhir,” katanya.



Mengenai bait lirik ‘tapi wifi macam ba…’ yang dianggap netizen terselit unsur carutan, Sophia menyerahkannya kepada pemikiran masing-masing.

“Ramai cakap bait lirik berkenaan macam mencarut. Kami tidak mencarut, kami tak cakap apa-apa.

“Siapa yang fikir secara negatif, kami tak boleh buat apa,” jelasnya.

Sophia turut meluahkan rasa terharu atas sambutan diterima terhadap single Alamak Raya Lagi!



“Kami terharu apabila melihat lagu ini tular dalam TikTok dan menjadi aliran dalam kalangan pengguna di Malaysia, Indonesia dan Thailand.

“Kami dapat tahu lagu Alamak Raya Lagi! tembus carta 50 lagu popular Spotify di Indonesia. Ini suatu pencapaian yang cukup membanggakan De Fam.

“Selain itu, kami seronok melihat kreativiti peminat dalam mempersembahkan cabaran lagu Alamak Raya Lagi! dalam media sosial,” katanya.

Trend yang dicetuskan lagu Alamak Raya Lagi! mendapat perhatian banyak pihak termasuk kumpulan wanita dari Korea Selatan, TRI.BE.



Sejak ditayangkan di saluran YouTube pada 8 Mac lalu, video rasmi lagu Alamak Raya Lagi sudah meraih lebih 15 juta tontonan.

Difahamkan, single Alamak Raya Lagi! sepatutnya dilancarkan tahun lalu, namun, atas beberapa faktor tidak dapat dielak, single itu terpaksa disimpan syarikat rakaman. BH

Alamak Raya Lagi tiada unsur negatif – De Fam (Video)

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Jantan takdak teloq – Puteri Sarah

Sakit apendiks, kaki pula yang kena potong

Bella tenang disamping Syed Saddiq

Peniaga tembikai agih buah kepada pengguna jalan raya [VIDEO]

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker