Apa khabar “bossku” ?

NAMPAK gayanya kehebatan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam media sosial begitu menyerlah sekali.

Malah ada yang mengatakan keyakinan dan keterbukaan Najib kali ini berbeza semasa beliau menjadi Perdana Menteri. Ada yang melihat kelaku yang ditunjukkan Najib di media sosial ini melayakkan beliau diangkat menjadi Raja Troll.

Mungkin ada kebenarannya apatah lagi dalam dunia sekarang jika tertinggal dalam pelbagai kecanggihan dunia internet anda akan dianggap dinosaur. Ia seperti katak di bawah tempurung.

Maka tidak hairanlah jika kita toleh kiri dan kanan sekarang warga emas berusia 70 tahun ke atas pun begitu mahir dengan segala apa yang ada dalam media sosial.

Bukan sahaja anak muda yang gigih menyanyi dan menari di dalam aplikasi Tik Tok, malah ada juga mereka yang berusia berkongsi perkara sama. Mungkin boring mengisi masa lapang atau sekadar memenuhi permintaan cucu agaknya.

Fenomena

Dalam hal melibatkan Najib yang semakin popular dan meraih pelbagai pujian mahupun kejian itu, sebenarnya ia bukan perkara baharu. Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump misalnya memang aktif dalam media sosial terutama melalui Twitter dan ia sangat membantu beliau memenangi Pilihan Raya Presiden sebelum ini.

Malah selebriti ternama Hollywood mahupun di mana-mana negara di dunia turut menggunakan media sosial mereka untuk mencari populariti tambahan selain menjana pendapatan sampingan.

Malah melalui media sosial juga mampu memberi pendapatan lumayan bagi sesiapa yang bijak mencipta ayat atau mencetus fenomena termasuk melakukan sesuatu yang dianggap hilang akal.

Maka tidak menghairankan kenapa ada orang yang sanggup bertindak di luar kewarasan demi kerana mencari populariti atau dijadikan bahan troll oleh pihak-pihak tertentu.

Mereka ini tidak kisah dikecam atau dijadikan bahan jenaka akibat tindakan sebegini kerana yang penting adalah menjadi popular, glamour dan cepat buat duit.

Eksploitasi

Jadi tidak menghairankan kenapa media sosial begitu menjadi kegilaan sekarang. Dan begitu juga bagi Najib yang dilihat bijak dalam mengeksploitasi media sosial demi mempopularkan dirinya. Tidak timbul soal salah atau betul kerana eksploitasi dalam media sosial ini boleh dikatakan semua orang buat.

Kalau kita lihat hantaran (post) yang tersiar di dalam Facebook, Instagram atau mana-mana laman media sosial, tengok pun dah tau kenapa ia dilakukan. Sama ada untuk menarik perhatian, meluahkan atau sekadar berkongsi. Kemudian kita pun nak tahu berapa ramai yang suka (like) atau kongsi (share) hantaran itu.

Maka betullah apa yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri itu. Sebagai ahli politik, apatah lagi bekas pemimpin yang kalah pada pilihan raya lepas dan di cap sebagai punca kekalahan, semangat beliau untuk membersihkan diri dan menaikkan semula namanya dilihat amat mengagumkan.

Namun sayangnya ramai pemimpin lain di dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) dilihat masih belum bangkit dari tidur, atau sememangnya belum habis lagi meratapi kekalahan pada pilihan raya lepas.

Atau pun mereka ini masih bersikap tunggu dan lihat dan berharap ada pihak yang mampu menawarkan mereka jawatan dan pangkat jika sanggup melompat parti.

Kalau nak jalan mudah jadilah katak, tapi kalau berprinsip berjuanglah sehingga ke titisan darah yang terakhir. Apatah lagi politik pada zaman moden kini sudah menjadi mudah. Perjuangan juga lebih murah dengan wujudnya media sosial.

Janji bulan bintang

Tetapi bukanlah bermaksud integriti dan hala tuju perjuangan juga turut sama murah harganya. Sepatutnya bila dah tak keluar duit dan tidak berjanji bulan dan bintang, maka integriti dan maruah perlulah seiring.

Tidak perlu lagi menabur duit kepada orang ramai atau berjumpa penyokong dan pengundi malam-malam buta demi mendapatkan pengaruh dan sokongan.

Bukan bermaksud tidak perlu berjumpa langsung tetapi jika kerap menegur atau menyapa di dalam Facebook atau media sosial lain pun, pengundi dan penyokong sudah cukup gembira.

Apatah lagi dalam keadaan UMNO dan BN sekarang bukan lagi ‘lubuk duit’ seperti semasa menjadi kerajaan dahulu, bersikap mesralah sikit dan bukannya keluar duit pun.

Malah tidak perlu lagi orang politik untuk keluar akhbar setiap hari seperti dahulu sehingga rimas kita tengok muka orang sama yang dikatakan wajib buat liputan atau wajib pakai di akhbar.

Cukuplah siar gambar mereka sedang bersarapan dengan penyokong atau melawat orang kampung yang memerlukan bantuan dan kongsikan dalam media sosial.

Paling tidak pun siarkan gambar sedang bertekak dengan pak menteri di Parlimen, baru orang nampak buat kerja.

Atau jadi seperti Najib, kongsikan apa sahaja status yang dirasakan menarik dan letakkan caption yang sinis dan saling memperli tentang apa sahaja perkara yang tidak betul di mata beliau atau rakyat terbanyak.

Berseorangan

Namun apa yang pasti, tindakan yang dilakukan Najib ini sememangnya membuatkan banyak pihak terutama dalam kalangan kerajaan tidak senang duduk atau panas hati.

Sayangnya tindakan sebegini perlu dilakukan oleh semua pihak dalam pembangkang. Jangan biarkan Najib berseorangan menjadi ‘bossku’ kerana sepatutnya kerja troll sebegini memerlukan kerjasama semua pihak dalam pembangkang.

Kesian Najib sudahlah dicap macam-macam sebelum ini termasuk oleh orang UMNO sendiri. Dalam keadaan sekarang pun beliau terkial-kial berseorangan seolah-olah pembangkang di Malaysia hanya terdiri dari Najib sahaja. Bukan menidakkan usaha pihak lain antaranya Khairy Jamaluddin dan Ahmad Maslan yang turut aktif.

Maksud saya semua pihak dalam pembangkang perlu bertindak dan berfikir seperti Najib dalam soal media sosial jika nak menanglah dalam pilihan raya akan datang. Apatah lagi jika tak ada duit, gunakanlah sepenuhnya kuasa media sosial untuk menarik sokongan. Malah tak mustahil mampu menang semula pilihan raya.

Bossku memilih

Ini yang dilakukan pihak Pakatan Harapan (PH) yang begitu menguasai media sosial pada pilihan raya lepas dan beberapa pilihan raya umum sebelumnya.

Silapnya mereka sanggup pula berjanji manifesto bulan dan bintang sehingga ada yang kita baca pun dah tau tak logik dan sukar dipenuhi janji yang ditabur. Akhirnya mereka menjadi mangsa amarah rakyat yang seolah-olah sudah serik di ‘kencing’.

Dalam keadaan sekarang yang paling penting bukannya ‘bossku’ yang memegang jawatan atau berada di tampuk pemerintahan. ‘Bossku’ yang sebenar adalah rakyat yang majoritinya terhimpit dan hidup susah akibat keadaan ekonomi yang kelam dan suram tanpa pembelaan sewajarnya.

Hayati dan tanyalah khabar dan masalah ‘bossku’ ini wahai ahli politik. Bukannya mengejar jawatan dan menang tapi kita pun tak tau apa yang dia buat sampai ke sudah. Jika tidak jangan salahkan ‘bossku’ kerana memilih untuk menukar kerajaan nanti.

Tempoh lima tahun bukannya lama apatah lagi dengan kuasa media sosial segalanya tidak mustahil berlaku. Malu apa bossku…

Hafizahril Hamid
UTUSAN

Leave a Reply