#PrkDunSemenyih : Enam Nama Calon Diserahkan Kepada UMNO Pusat, Kerjasama Dengan Pas Diperkukuh

Share


Enam nama calon akan diserahkan oleh Badan Perhubungan UMNO Selangor kepada UMNO pusat sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang akan diadakan pada 2 Mac depan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Dr Ismail Sabri Yaakob berkata keenam-enam calon yang disenaraikan itu bukan sahaja berdasarkan jawatan dalam parti dan juga penerimaan rakyat malah ianya juga mengambil kira potensi besar untuk menang.

“Ada kalangan sayap parti termasuk Wanita, Pemuda dan juga ada nama daripada kalangan profesional. Jadi kita serahkan kepada pucuk pimpinan untuk membuat pertimbangan,” katanya pada sidang media di sini.

Sidang media tersebut turut dihadiri Pesuruhjaya Pas Selangor, Ustaz Sallehen Mukhyi bersama pimpinan negeri dan Semenyih.

Ismail Sabri pada sidang media yang sama turut memaklumkan satu jawatankuasa bersama antara UMNO dan Pas Selangor akan diwujudkan dalam usaha menyelaraskan gerak kerja sepanjang PRK tersebut.

“Kita ingin mengucapkan setinggi-tingi terima kasih kepada Pas yang membuat keputusan memberikan laluan kepada UMNO untuk meletakkan calon selain kesediaan untuk membantu pada PRK Dun Semenyih nanti.

“Secara tidak rasmi saya dan beberapa rakan daripada Selangor telah adakan perbincangan bentuk kerjasama nanti. Dua PRK di Selangor sebelum ini agak longgar kerjasama dan insya-Allah pada kali ini agak lebih menyeluruh bermula hari pertama sehinga ke hari mengundi.

“Insya-Allah kita akan lancar jentera PRK bersama antara kedua-dua parti dan gerak kerja ini bukan sahaja di peringkat pusat tetapi sehingga ke peringkat bahagian termasuklah penglibatan sayap-sayap,” katanya.

Sementara itu Pesuruhjaya Pas Selangor, Ustaz Sallehen berkata, mereka akan bergerak sepertimana arahan daripada pusat dan akan membantu dalam usaha mencapai kemenangan calon yang diketengahkan nanti.

“Insya-Allah kita akan turun seberapa daya yang boleh dan akan berusaha memastikan undi yang diperoleh calon Pas pada PRU lalu akan kekal dan menambah lagi dalam lingkungan 20 peratus.

“Kita yakin dengan konflik kepercayaan rakyat terhadap kerajaan PH akan membuka ruang kemenangan,” tambahnya lagi. – MediaUMNO

UMNO ONLINE



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *