Umno persoal keputusan SPR dikuasai seorang individu

Share

Umno hari ini mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang membuat sesuatu keputusan hanya berdasarkan suara seorang individu.

Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata keputusan SPR melibatkan seorang individu tanpa perbincangan bersama bertentangan dengan perkara 114(1) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, mengikut perlembagaan, sebuah suruhanjaya sepatutnya dikendalikan 7 anggota iaitu pengerusi, timbalan pengerusi serta 5 anggota SPR yang lain.

“Saya difahamkan SPR akan bermesyuarat hari ini (Jumaat) bagi memutus dan mengeluarkan writ bagi pilihan raya kecil (PRK) Semenyih diadakan berikutan kematian Adunnya.

“Berikutan peletakan jawatan timbalan pengerusi dan 5 orang ahli lain pada 31 Disember 2018, SPR dianggap tidak beroperasi atau tidak wujud di sisi perlembagaan,” katanya pada sidang media di Tanah Rata.

Annuar berkata menurut perlembagaan, SPR tidak boleh wujud jika hanya mempunyai komposisi hanya seorang pengerusi.

“Perkataan ‘hendaklah’ di dalam Perlembagaan Persekutuan menunjukkan ia adalah keperluan mandatori.

“Justeru itu, segala tindakan yang dibuat di bawah nama SPR pada ketika ini adalah tidak berpelembagaan dan dikira terbatal.

“Mana mungkin suruhanjaya ini berfungsi dengan hanya seorang ahli sedangkan perlembagaan dengan jelas dan secara wajib, mesti terdiri dari 7 orang,” katanya.

Annuar melahirkan kebimbangan jika Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun yang merupakan orang kuat Pakatan Harapan (PH) akan membuat keputusan bias atau tiada “check and balance” dalam SPR.

“Kekosongan dalam SPR itu dah lama, bukan sekejap. Dan mereka berhenti kerana ada tekanan dari pihak kerajaan sekarang. Sepatutnya mereka dihormati dalam apa jua keadaan, mereka mesti bertindak bebas.

“Sepatutnya kelompongan dalam SPR tidak boleh dibiarkan begitu lama, sehingga yang sekarang ni hanya seorang sahaja, dia seorang aktivis yang pro kepada PH, jadi itu yang berlegar dalam fikiran kita,” katanya.

Annuar berkata perkara ini perlu diambil tindakan bagi meyakinkan rakyat pada PRK Semenyih tidak lama lagi.

FMT

Leave a Reply