#PRKP078CH : BN Dan Pas Kempen Bersama, Sepakat Gesa PH Laksanakan Dahulu Janji PRU-14

Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands menampakkan sedikit kelainan apabila UMNO dan Pas berganding bahu dalam satu program santai bersama jentera dan pengundi di Koyan Satu malam tadi.

Bertempat di perkarangan Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Koyan 1, walaupun majlis yang ringkas, namun ianya membawa seribu makna dan satu pengertian yang besar di kalangan parti pembangkang.

Pimpinan UMNO menampilkan Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris serta Pengerusi Penaja Pembela Warga Felda, Anuar Manap manakala Pas pula dibarisi bekas calon Parlimen Cameron Highlands, Wan Mahadir Wan Mahmud serta pimpinan negeri dan setempat yang lain yang sepakat agar pengundi menolak calon Pakatan Harapan (PH)

Dalam ucapan awal, Pengerusi Penaja Pembela Warga Felda, Anuar mengingatkan kerajaan pusat agar tidak menggula-gulakan rakyat terutama warga peneroka dengan pelbagai janji sebaliknya menyelesaikan dahulu janji yang telah dibuat sebelum ini.

Malah tegasnya daripada berjanji benda-benda baru kepada warga Felda termasuklah kepada golongan generasi kedua, alangkah baiknya pelbagai usaha dan perancangan ditumpukan kepada usaha-usaha untuk membantu mengurangkan beban rakyat terutama melibatkan soal kepenggunaan.

“Janji melupuskan hutang peneroka… harapan palsu rupanya. Saya nak tanya tuan-puan yang ada di depan ini… apa yang dijanjikan itu hapus atau tidak… berapa peratus yang dihauskan, 50 peratus, 20 peratus atau bagaimana… maksudnya janji yang ditabur sebelum ini adalah untuk mengaburi mata peneroka dan warga Felda semata-mata.

“Jadi kita di sini akan melalui proses PRK… kita tunjukkan semangat kita sebagai satu pasukan pada hari ini untuk sama-sama menolak PH. Inilah kaedah terbaik kita tunjukkan nadi warga Felda di Sungai Koyan. Kita tunjukkan dalam undi kita nanti bahawa mereka sesungguhnya tidak mampu untuk menjaga peneroka Felda,” katanya.

Katanya lagi Felda sebelum ini sebenarnya telah banyak melaksanakan pelbagai skim untuk anak-anak peneroka menerusi skim latihan untuk baik pulih kapal terbang.

“Hingga ke tahap itu kita mahu melatih anak-anak warga Felda khususnya dikalangan generasi baru. Alhamdulillah ada kejayaannya. Jadi jika betul dan benar kerajaan baru hari ini untuk membantu warga Felda lihat semula apa yang kita pernah buat dahulu. Kalau boleh perbaiki dan jangan buat benda-benda yang baru.

“Kalau kita hanya sekadar buat skim latihan tanpa menyediakan peluang seterusnya ke manakah mereka akan pergi selepas itu. Apakah ada ruang dan peluang dari sudut pekerjaan atau sekadar untuk dapatkan kepentingan politik?” soalnya.

Sementara itu bekas calon Pas Parlimen Cameron Highlands PRU yang lalu, Wan Mahadir pula menekankan walaupun parti itu pada kali ini tidak bertanding atas arahan pucuk pimpinan, pihaknya menyokong sepenuhnya apa yang disarankan oleh pimpinan membantu perjuangan atas dasar Islam.

“Pas Pahang dah berkampung di sini hampir seminggu di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai termasuk di Tanah Rata dan begitu juga kepimpinan yang tertinggi akan hadir bermula pada Jumaat ini kerana program-program yang telah disusun sebelum ini tidak dapat dielakkan. Kita akan susun program bersama nanti,” ujarnya lagi. – MediaUMNO

UMNO ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker