Simpanan nyawa rakyat Malaysia dalam tangan asing

Datuk Seri Najib Tun Razak meneruskan kritikannya terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Kali ini, ia tentang keputusan Kementerian Kewangan mengecualikan syarikat insurans dari Singapura, Great Eastern daripada syarat Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mengehadkan pemilikan asing dalam sektor insurans negara.

Perkara tersebut diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini ketika ditanya pemberita tentang sumber dana untuk skim perlindungan kesihatan rakyat berpendapatan rendah (B40) yang diumumkan kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2019 tahun lalu.

Pengecualian itu bermakna Great Eastern yang menyumbangkan RM2 bilion untuk skim tersebut tidak terikat dengan syarat BNM supaya syarikat insurans asing melepaskan sekurang-kurangnya 30 peratus pegangan sahamnya dalam operasi tempatan kepada syarikat tempatan.

Menurut Najib, langkah tersebut adalah dangkal kerana ia menyebabkan syarikat insurans asing yang menguasai 81.7 peratus industri insurans tempatan pada 2016 akan terus menguasai pasaran tempatan.

“Syarikat-syarikat insurans asing amat besar. Ini memberi kesan kepada daya saing syarikat-syarikat takaful dan insurans tempatan yang jauh lebih kecil.

“Langkah ini sudah tentu menggadaikan masa depan industri dan pasaran insuran syarikat-syarikat takaful dan insuran negara dan kita akan terus didominasi oleh syarikat-syarikat asing yang besar,” katanya menerusi kenyataan dalam akaun Facebook miliknya, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Najib menyuarakan kebimbangannya tentang nasib syarikat insurans dan takaful tempatan yang dikhuatiri tidak mampu bersaing seterusnya terpaksa menutup operasinya kelak.

“Ini merupakan sebab utama syarikat insurans dan takaful tempatan tidak dapat meneroka pasaran serantau seperti syarikat dari Singapura dan negara lain kerana pasaran negara sendiri pun kita tidak berpeluang untuk kuasai ekoran polisi kerajaan PH ini.

“Akhirnya nanti, apabila banyak syarikat takaful dan insuran tempatan gulung tikar, mereka akan dituduh malas berusaha. Simpanan nyawa rakyat Malaysia akan tetap dalam tangan asing,” katanya.

Menurut Najib, langkah mengehadkan pemilikan saham syarikat asing itu diambil untuk menggalakkan pertumbuhan syarikat tempatan dan mengurangkan dominasi syarikat asing dalam industri tempatan yang merupakan satu risiko.

“Setakat ini, Great Eastern Singapura yang dimiliki Bank Singapura masih memiliki 100 peratus saham dalam operasi mereka di Malaysia yang menjana keuntungan sebanyak RM1 bilion setiap tahun dari kita.

“Kita tidak pasti jika pelepasan yang diberi kepada Great Eastern ini ialah untuk selama-lamanya ataupun untuk tempoh tertentu kerana ini tidak diumumkan atau didedahkan oleh Guan Eng,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker