Rakyat berhak untuk menuntut kebenaran tentang kematian kedua-dua mangsa ini tanpa dipaksa untuk bermalam di lokap – Najib
Anggota majlis tertinggi UMNO, Lokman Noor Adam mengeluarkan kenyataan bahawa dia mengesyaki kerajaan PH cuba menyembunyikan kebenaran tentang kematian anggota bomba, Muhammad Adib.
Lokman dipanggil untuk soalsiasat oleh pihak polis di bawah Akta Hasutan, ditangkap, ditahan dan beliau bermalam di dalam lokap.
Semalam juga, ahli parlimen DAP Ramkarpal Singh mengeluarkan kenyataan bahawa beliau mengesyaki kerajaan PH cuba menyembunyikan kebenaran (cover up) tentang kematian Teoh Beng Hock.
Tetapi langsung tidak ada tindakan yang dilakukan oleh kerajaan PH kepada pemimpin DAP ini.
Semasa pentadbiran BN, pada tahun 2014 pihak polis juga pernah memanggil ketua DAP Lim Kit Siang di bawah akta hasutan untuk soal-siasat di atas kenyataan beliau yang mempersoalkan keputusan mahkamah mengenai kematian Teoh Beng Hock.
Pada masa itu, Kit Siang tidak ditangkap, tidak ditahan dan tidak didakwa juga.
Pada ketika ini, Kit Siang tidak lagi menyoal mengenai kematian Teoh Beng Hock malah mengeluarkan kenyataan bahawa saya tidak bersalah di dalam kematian Teoh pada bulan Oktober tahun lepas.
Pada zaman BN semasa saya Perdana Menteri, rata-rata pemimpin-pemimpin PH mengeluarkan pelbagai tohmahan dan kenyataan selama bertahun-tahun untuk mengaitkan saya dan kerajaan BN di dalam kematian beberapa orang seperti Altantuya, Teoh, Kevin Morais dan Hussain Najadi.
Bagaimanapun, mereka tidak dipanggil ditangkap di bawah akta hasutan ataupun dipaksa untuk bermalam di lokap.
Walaupun PH sekali lagi mungkir janji manifesto mereka untuk mansuh akta hasutan tetapi jangan memilih kasih dan menggunakan akta ini untuk berulang kali menindas pemimpin dan penyokong pembangkang.
Lokman sudah kena. Sebelum ini adik Lokman pun ditangkap dan direman 4 hari bulan Oktober dulu.
Teoh Beng Hock ialah rakyat Malaysia. Beliau mati di dalam keadaan tragis.
Begitu juga dengan Allahyarham Mohd Adib.
Rakyat berhak untuk menuntut kebenaran tentang kematian kedua-dua mangsa ini tanpa dipaksa untuk bermalam di lokap.
Najib Razak