Cukuplah berpolitik, dengarlah rintihan rakyat

 

SEJAK pertengahan Disember lalu, akhbar Utusan Malaysia menyiarkan ruangan Rintihan Rakyat bertujuan memaparkan rintihan rakyat atau lebih tepat lagi golongan marhaen yang semakin tersepit dengan kos sara hidup.

Pelbagai cerita dipaparkan dari nasib nelayan di tengah lautan hinggalah kemiskinan yang menjerat keluarga sehingga mahu membeli seragam sekolah pun tidak mampu.

Lebih trajis lagi ketika semua pihak khususnya ahli politik terus bercakaran sesama sendiri atas nama merebut kuasa, rupa-rupanya masih ada rakyat yang anak mereka tidak bersekolah, masih ada rakyat terpaksa mengikat perut dan masih ada rakyat yang menghuni rumah bagaikan reban ayam.

Penulis percaya masih terdapat ratusan ribu lagi rakyat negara ini yang terus menjalani kehidupan dalam serba kekurangan dan tidak mustahil ada di antara mereka belum tentu dapat menjamah biarpun sesuap nasib.

Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) golongan ini tidak pernah dipinggirkan, pelbagai bantuan disalurkan kepada mereka melalui pelbagai program, tetapi kononnya perbuatan itu dianggap rasuah dan akan menyebabkan golongan miskin ini menjadi pemalas, ia dihentikan.

Penulis tidak mahu berhujah dari segi politik kerana ia tidak akan menguntungkan mana-mana pihak. Apa yang paling penting sekarang ialah bagaimana mahu memastikan golongan bawahan terbela. Bagaimana untuk pastikan tiada yang tinggal dalam reban ayam yang diubah suai?

Bagaimana mahu memastikan pekebun kecil, penoreh getah atau peneroka serta nelayan yang terjejas akibat kejatuhan harga komoditi dan cuaca diberi bantuan sewajarnya agar mereka tidak terus dihimpit kesusahan.

Semua ahli politik tanpa mengira parti berdegar-degar bercakap soal membela nasib rakyat. Malah soal membela nasib rakyat menjadi ‘modal air liur’ paling ampuh untuk menarik sokongan rakyat menyokong sesebuah parti.

Tetapi apabila kuasa sudah ada di tangan, apa yang mereka lakukan untuk membela nasib rakyat seumpama itu. Cukup-cukuplah memberi pelbagai alasan atau hujah dengan matlamat untuk menghalalkan kegagalan mengadakan program membela nasib rakyat.

Berhentilah membuat kenyataan menghina seolah-olah golongan bawahan yang majoritinya orang Melayu tidak ada maruah apabila menganggap mereka akan menjadi malas jika terus diberi bantuan.

Pelik dan aneh, kalaulah yang menjadi kerajaan tidak mahu membela nasib rakyat, siapa lagi yang rakyat harapkan untuk membela nasib mereka. Kalaulah tiada idea bagaimana untuk membantu golongan itu tidak payahlah berasa malu untuk meniru program kerajaan terdahulu, tindakan itu tidak ada salahnya, asalkan nasib rakyat dibela.

Pada masa ini bukan sahaja rakyat di desa berasa tertekan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, malah mereka yang berjuang di bandar terus berasa himpitan tersebut.

Lebih malang majoriti mereka terperdaya dengan janji-janji manis semasa pilihan raya lalu sehingga sanggup mengubah kerajaan. Tetapi sekarang rakyat yang dibuai dengan mimpi-mimpi indah jika kerajaan berubah, kita semakin resah.

Kehidupan mereka terus dihimpit dengan ketidaktentuan ekonomi. Di mana-mana sahaja rakyat merintih kerana terpaksa berhadapan dengan kos sara hidup yang terus meningkat.

Tiada lagi berita gembira berkaitan bantuan yang akan disalurkan oleh kerajaan bagi meringankan si petani di sawah, si penoreh di kebun getah, si peneroka di tanah rancangan dan si nelayan di lautan.

Di kota pula, tiada lagi keriangan menanti bantuan kerajaan untuk mereka menikmati bantuan kewangan seperti BR1M, biarpun kini ada skim bantuan baru, namun ia dilakukan secara terpilih kononnya bagi mengelakkan mereka yang tidak layak menerimanya.

Ketika ini rakyat tidak nampak apa-apa yang boleh mereka menaruh harapan. Apa yang sedang mereka saksikan ialah sang politikus terus berpolitik biarpun pilihan raya sudah berlalu.

Keadilan untuk rakyat hanyalah omong kosong apabila peruntukan kepada wakil rakyat diberikan secara terpilih. Kesudahan bagi mereka yang ‘tidak kuat iman’ terpaksa melompat parti dan memberi alasan tindakan itu adalah demi kesejahteraan rakyat diwakili.

Persoalannya adakah kenyataan itu membuktikan kawasan pembangkang dipinggirkan, biarpun kita sering diberitahu semua kawasan Parlimen dan DUN akan diberi peruntukan sewajarnya demi rakyat. Oleh itu dengarlah rintihan rakyat.

Janganlah menjadikan rakyat sebagai korban politik tidak berkesudahan. Dalam keadaan ekonomi dan kos sara hidup semakin mencengkam mereka tidak berupaya untuk terperangkap dalam pertelagahan politik. Apa yang mereka tahu ialah bagaimana mengisi perut.

Justeru berpada-pada dalam berpolitik, kasihanilah rakyat. Mereka perlukan pembelaan bukan disumbat adegan politik memualkan. Tiada apa yang perlu dibanggakan dengan Malaysia Baharu, kalau masih ada rakyat yang merempat.

Tiada apa yang menggembirakan dengan laungan Malaysia Baharu, kalau masih ada kanak-kanak tidak bersekolah dan tiada apa yang diraikan dengan Malaysia Baharu, kalau pemikiran ahli politik masih berada pada tahap politik kepartian sempit.

Zulkiflee Bakar
Utusan

Berhenti berpolitik dan buat kerja – TMJ

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker