Azmin pertikai keputusan Anwar melantik Rafizi dan lain-lain.

Share

Azmin pertikai pelantikan jawatan utama PKR

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempertikaikan pelantikan beberapa jawatan utama kepemimpinan parti seperti yang diumumkan semalam yang disifatkan membelakangkan pandangan akar umbi.

Mohamed Azmin berkata, parti perlu mengambil kira pandangan akar umbi dalam semangat musyawarah dan saling hormat-menghormati demi mengembalikan perjuangan parti ke landasan yang sebenar.

Malah, beliau menggesa Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneliti semula pelantikan jawatan-jawatan utama berkenaan.

“Pelantikan yang telah diumumkan tidak mencerminkan prinsip ‘fair and just representation’ terhadap aspirasi anggota dan tidak akan membantu parti untuk maju ke hadapan. Beberapa individu yang dinamakan juga terlibat secara langsung dalam proses pemilihan yang tidak telus dan menyebabkan punca perpecahan dalam parti.

“Jawatan Setiausaha Agung adalah jawatan penting yang harus dipikul oleh seseorang yang profesional dan wibawa dalam memahami tugas pengurusan dan pentadbiran. Beliau perlu melaksanakan tugas selaras dengan keputusan parti yang dibuat secara konsensus dan bukan mengambil pendirian secara berasingan,” katanya menerusi kenyataan dalam Facebook miliknya hari ini.

Semalam, PKR mengumumkan beberapa jawatan utama kepemimpinan parti menerusi lantikan termasuk bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang dilantik menjadi naib presiden.

Pengumuman lantikan itu dibuat oleh presiden parti dalam satu kenyataan rasmi.

Tambah Mohamed Azmin, beliau menggesa presiden parti memberi perhatian serius berhubung perkara ini demi menjamin masa depan parti yang kukuh dan inklusif.

“Sesungguhnya, idealisme reformasi dalam PKR menuntut kita bergerak dengan kekuatan organisasi yang mantap dan meraikan kerencaman pandangan serta inklusif dalam menggarap seluruh kekuatan sumbangan anggota PKR,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!