Siasat kematian Muhammad Adib secara telus, teliti

UMNO meminta kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24, yang diklasifikasikan sebagai kes bunuh disiasat secara telus, teliti dan segera.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihak yang bertanggungjawab dalam kes tersebut perlu dibawa ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman setimpal.

“UMNO dan saya secara peribadi mengirimkan sedalam-dalam belasungkawa kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga semuanya diberikan kekuatan dan kesabaran dalam berhadapan dengan waktu yang sukar ini.

“Kita semua harus memberikan ruang dan masa kepada ahli keluarga Allahyarham dan memastikan tidak menyinggung atau mengganggu mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamad berkata, seluruh negara berasa sedih dan pilu dengan kematian Muhammad Adib yang bertarung nyawa kira-kira tiga minggu selepas parah akibat dipukul semasa bertugas dalam rusuhan di Subang Jaya pada 26 November lalu.

“Pengorbanan anggota keselamatan semasa menjalankan tugas kepada negara adalah satu sumbangan besar yang tidak ada nilai dan taranya,” katanya.

Beliau juga melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada pasukan perubatan dan kakitangan Institut Jantung Negara (IJN) serta semua pihak yang berusaha merawat dan membantu Muhammad Adib. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker