Pemimpin datang dan pergi, perjuangan UMNO tetap ditunjangi.

Hari ini saya berada di Sabah bersama-sama dengan ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Pusat mengadakan perjumpaan dengan kepimpinan dan ahli UMNO Sabah.

Alhamdulillah, di sebalik isu politik yang melanda UMNO Sabah semalam, masih ramai pemimpin dan ahli-ahli UMNO dari pelbagai peringkat kepimpinan hadir menyatakan sokongan yang berterusan dan tetap bersemangat meneruskan wadah perjuangan UMNO.

Dalam UMNO pemimpin itu lahir, datang dan pergi. Yang meninggalkan perjuangan parti; persoalan tentang percaturan politik atau atas apa jua kepentingan adalah mengikut tafsiran masing-masing. Maka terpulanglah kepada rakyat atau pemerhati politik membuat andaian atau persepsi mengikut acuan sendiri. Itu adalah hakikat politik yang perlu kita terima tanpa menunding jari menyalahkan pihak lain. Demikian juga pemimpin yang pergi (keluar parti) diharap agar tidak menyalahkan institusi UMNO sebagai sebuah parti politik yang telah berjasa kepada mereka dan rakyat yang telah memilih mereka atas keyakinan kepada agenda UMNO serta Barisan Nasional.

Meskipun pelbagai faktor dan sebab telah menjadi dorongan kepada tindakan meninggalkan perjuangan melalui UMNO, saya yakin kematangan pemikiran rakyat umum akan menilai tindakan politik mereka.



Tindakan mereka itu juga harus dilihat secara positif yakni bagi menonjolkan bakat pemimpin pelapis dari semua peringkat kepimpinan UMNO untuk berada di barisan hadapan selepas ini. Mereka adalah penyambung perjuangan.

Malah saya melihat perlantikan YB Datuk Bung Mohktar sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah bersama saf pengurusan yang baharu mampu untuk membawa UMNO Sabah ke arah yang lebih dinamik, diterima rakyat serta menguasai politik di Negeri Sabah semula.

Kepada sahabat-sahabat saya yang telah membuat keputusan meninggalkan UMNO, saya ucapkan selamat maju jaya.

Kepada seluruh ahli UMNO Sabah yang kekal setia bersama, saya ucapkan setinggi penghargaan dan terus menyakini institusi kita iaitu UMNO dengan semangat yang jitu dan jati diri yang tinggi. Bertenang dan usah terpengaruh dengan tindakan bekas pemimpin yang telah meninggalkan wadah perjuangan yang anda semua dukungi ketika ini.



Hala tuju kita adalah untuk kembali menerajui kuasa politik negara pada PRU yang akan datang! Insya Allah.

Dato’ Seri Mahdzir Bin Khalid
Naib Presiden UMNO

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker