#DaulatHimpunan812: Sabotaj, provokasi terancang mula dikesan?

UMNO dan Pas mengesyaki terdapat unsur sabotaj serta kemungkinan berlakunya provokasi terancang bagi mencetus kekacauan ketika himpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) #DaulatHimpunan812 di ibu negara, esok.

Perkara itu disuarakan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan ketika sidang akhbar selepas kedua-duanya hadir dalam Ceramah Perdana Praperhimpunan Membantah ICERD di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.

Menurut Annuar, penganjuran Sambutan Hari Hak Asasi Manusia 2018 serentak dengan #DaulatHimpunan812 serta jarak lokasinya yang boleh dianggap sebagai berdekatan sepatutnya dielakkan kerana terdapat kemungkinan besar untuk kumpulan peserta kedua-dua program itu bertembung.

“Bagi saya, ini satu provokasi secara terancang. Para peserta mungkin berhimpun di tempat berlainan tetapi bagaimana jika mereka bertembung kerana menaiki LRT yang sama atau berkonvoi guna jalan yang sama. Kalau ada yang ‘nakal’ dan sengaja mahu memburukkan keadaan, bagaimana?

“Hari Hak Asasi Manusia jatuh pada Isnin, kalau nak kerahkan penjawat awam ke program tersebut, mereka boleh buat pada Isnin, atau buat sahaja pada Ahad, kenapa perlu pada Sabtu juga? Jika berlaku sesuatu, kerajaan kena bertanggungjawab sebab ini angkara mereka,” katanya.

Sementara itu, Takiyuddin berkata, timbul persoalan bagaimana program anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) diluluskan pihak berkuasa kerana mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012, dua perhimpunan besar tidak boleh diadakan serentak dalam jarak berdekatan.

“Saya tidak tahu macam mana himpunan anjuran Suhakam yang Pengerusinya Tan Sri Razali Ismail, orang yang jelas menyokong ICERD, diluluskan pihak berkuasa. Jadi esok ada dua kumpulan berhimpun, satu kumpulan menyokong ratifikasi dan satu lagi menolak,” katanya.

Mengenai status Facebook menyeru orang ramai supaya tidak ke ibu negara kerana pertempuran bakal tercetus antara peserta #DaulatHimpunan812 dengan pasukan keselamatan, Takiyuddin berkata, perkara itu juga salah satu usaha menakut-nakutkan orang ramai untuk berhimpun.

Beliau dalam pada itu turut mendedahkan kandungan surat rasmi pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mengarahkan Menara 1 dan 2 ditutup serta tidak membenarkan semua kakitangannya berada di pejabat pada 8 Disember sebagai mengambil langkah keselamatan.

“Surat ini seolah-olah memberitahu, perhimpunan kita nanti akan huru-hara. Dia bukan sahaja tidak benarkan kakitangan berada di pejabat malah mengarahkan semua kenderaan rasmi DBKL yang berada di menara itu dipindahkan ke Jalan Cheras. Perkara ini bagi saya boleh menimbulkan keresahan kepada rakyat.

“Sepatutnya sebagai pihak berkuasa tempatan, DBKL wajar beri jaminan keselamatan manakala anggota dia pula patut bertugas membantu pasukan keselamatan menjaga keamanan. Apa-apa pun, insya-Allah saya yakin himpunan ini tidak akan menimbulkan masalah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

One thought on “#DaulatHimpunan812: Sabotaj, provokasi terancang mula dikesan?

  • December 7, 2018 at 7:04 pm
    Permalink

    DAP nak tengok Melayu hancurkan Kuala Lumpur sebagai alasan berkuasa penuh…

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *