Aziz Bari cuba jatuhkan Menteri Besar?

 

Selepas diminta untuk membuktikan siapakah Exco kerajaan negeri yang cuba menjatuhkan Menteri Besar, Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamad meminta Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meminta supaya bertanyakan perkara itu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Dr. Abdul Aziz Bari, adakah benar beliau orang yang dimaksudkan.

Saarani mendakwa, Abdul Aziz yang juga Exco kerajaan negeri telah bertemu dengan lima orang ADUN UMNO dan beliau mempunyai kesemua akuan bersumpah mengenainya.

“Satu Exco Pakatan Harapan telah bertemu dengannya (salah seorang ADUN UMNO) pada 2 November di French Hotel, Ipoh diikuti kali kedua di Ibis Hotel, Cheras. Apa intipati perjumpaannya, kata dia, Menteri Besar yang ada tidak ‘perform’. Menteri Besar yang ada tidak layak tetapi dia layak kerana ada sokongan 18 ADUN Pakatan Harapan termasuk empat dari Amanah dan empat dari PKR. Jumlahnya 26 tetapi dia tidak cukup empat, jadi, dia perlukan empat sokongan ADUN Barisan Nasional.

Dia jumpa seorang pada 2 hari bulan, dia jumpa seorang lagi pada 15 hari bulan di Old Town White Coffee Ipoh. Dia jumpa seorang lagi pada 21 hari bulan di Restoran SImpang Tiga, dia jumpa lagi seorang pada 23 hari bulan hari Jumaat petang di Chu Corner Padang Rengas. Dia jumpa seorang lagi di Kamalodge pada hari Sabtu baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Belanjawan Perak 2018 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Saarani berkata, beliau telah mengingatkan ahli-ahlinya bahawa jika itulah perkara yang berlaku, kerajaan Pakatan Harapan kini berada dalam keadaan terumbang-ambing dan berkemungkinan peristiwa pada tahun 2009 bakal berulang.

“Menteri Besar, berlakon-berlakon juga, tetapi negeri kena jaga. Sebab kalau tak jaga, ada orang main belakang kita. Depan cakap ‘yes sir’, saya sokong tuan tetapi di belakang dia boleh jumpa ADUN-ADUN UMNO mengutuk Menteri Besar tiada sijil, tiada ijazah, malah hadir majlis raja-raja kutuk Menteri Besar tak berwibawa, eh ini apa ni?

“Saya bertanggungjawab atas apa yang saya kata kerana saya kasihkan rakyat negeri Perak. Saya tidak mahu peristiwa-peristiwa yang memalukan negeri Perak. Kita mesti ada sebuah kerajaan yang kuat, sebab itu bila dapat 29 kerusi, jangan curi orang lain punya. Bila kita curi dua orang, kerajaan tidak kukuh,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

2 Comments

  1. ADUN UMNO 25 + ADUN PAS 3 + ADUN UMNO kembali ke UMNO 2= 30 / 59 cukup majoriti bentuk kerajaan MELAYU di Perak.

  2. 2 orang pengkhianat dr UMNO dulu tak perlu dimasukkan dalam UMNO kembali, biar mereka mampus dengan ipar dan sedara mereka tu (Peja).

    Yang elok serahkan kuasa pada rakyat kembali, buat satu pilihanraya negeri yang baru untuk tentukan parti mana yang layak mentadbir negeri Perak.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker