Kenaikan gaji punca kos sara hidup naik – Dr. Mahathir

Share
Tun Dr. Mahathir Mohamad

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menolak kenaikan gaji dengan berkata bahawa itu antara faktor kenaikan kos sara hidup.

“Anda naikkan gaji, sektor swasta akan ikut sekali, dan kos semua benda akan naik. Bukan begitu caranya mengurus orga­nisasi,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan portal berita Free Malaysia Today (FMT).

Atas alasan itu, Dr. Mahathir yang meletak jawatan pada 2003 selepas 22 tahun memerintah, tidak berpuas hati dengan tindakan yang dilakukan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak menaikkan gaji kakitangan awam kerana langkah itu meningkatkan kos perbelanjaan kerajaan.

Dr. Mahathir berkata, Abdullah yang mengambil alih pentadbiran kerajaan pada 2003, dan Najib, memburukkan lagi beban itu dengan menaikkan gaji penjawat awam dalam usaha untuk membeli kesetiaan mereka.

“Apa yang mereka buat adalah beli kesetiaan penjawat awam dengan menaikkan gaji mereka, kadang-kadang sebanyak 25 peratus.

“Dari mana da­tang­nya wang untuk itu? Anda dapat wang itu dengan mengecilkan belanja pembangunan.

“Anda berkata perkhidmatan awam tidak menjadi lebih cekap walaupun saiznya bertambah 60 peratus.

“Jadi produktiviti tetap sama, bukannya lebih baik,” katanya seperti yang dipetik daripada FMT.

Beberapa hari sebelum pilihan raya umum 9 Mei tahun ini, Barisan Nasional menjanjikan perkhidmatan awam kenaikan gaji pada Julai yang akan menelan belanja sebanyak RM1.46 bilion.

Dr. Mahathir ber­kata, beban itu kini diwariskan kepada kerajaan Pakatan Harapan.

Katanya, penambahan kakitangan awam turut memberikan bebanan kewangan kepada kerajaan.

“Mereka menambah bilangan pekerja, daripada satu juta ketika saya berundur kepada 1.6 juta orang.

“Tambahan sebanyak 600,000 gaji untuk dibayar, dan mereka naikkan gaji kadang-kadang dua kali setahun. Mula-mula 10 peratus dan kemudian 10 peratus lagi,” katanya.

Kata Dr. Mahathir, saiz perkhidmatan awam yang terlalu besar menjadi kebimbangan sejak sekian lama kerana per­belanjaan mengurus memakan sebahagian besar daripada belanjawan negara setiap tahun.

Utusan

Kerajaan tak boleh kedekut semasa tangani Covid-19

 

One thought on “Kenaikan gaji punca kos sara hidup naik – Dr. Mahathir

Leave a Reply