Apa dosa Muhammad Adib?

Share

DITARIK keluar dari kenderaan dan dipukul hingga cedera parah. Ini bukanlah adegan seorang pencuri kereta tetapi itulah nasib seorang anggota bomba yang bergegas ke lokasi Kuil Sri Mariamman, USJ Subang Jaya bagi menjalankan tugasnya.

Apa dosa Muhammad Adib Mohd Kassim sehingga diperlakukan sedemikian? Mereka yang menyerang anggota bomba berusia 24 tahun itu harus diburu sehingga ke lubang cacing. Jangan beri seincinpun ruang untuk individu-individu ganas tersebut melepaskan diri.

Menyerang penjawat awam yang sedang menjalankan tugas tidak kira daripada jabatan atau organisasi manapun adalah perbuatan biadab dan sama sekali tidak bertamadun. Ia hanya dilakukan oleh kelompok manusia yang tidak tahu menghormati undang-undang dan perlu diasingkan daripada masyarakat.

Justeru kita bersetuju dengan kenyataan tegas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang mempersoalkan nilai hormat perusuh dan menyifatkan ia melampau dan keterlaluan.

Benar kata beliau, ia adalah satu budaya yang harus dihentikan kerana, “mereka adalah penjawat awam beruniform.Perlu ada satu tahap hormat kepada penjawat awam yang beruniform oleh rakyat Malaysia.”

Apapun Muhammad Adib sedang bertarung nyawa akibat kecederaan dalaman yang tidak sewajarnya diterima oleh seorang anggota bomba yang tugasnya semata-mata memadam kebakaran dan menyelamatkan nyawa orang lain.

Di mana nilai kemanusiaan perusuh? Apakah terlalu buta mata dan hati untuk membeza antara penjawat awam yang menjalankan tugas dan kelompok yang mereka marah. Kejadian seumpama ini sama sekali tidak boleh dibiarkan berulang terhadap mana-mana juga penjawat awam.

Sudah pasti apa yang berlaku kepada Muhammad Adib akan membangkitkan kemarahan seluruh masyarakat tanpa mengira kaum dan latar belakang agama, tetapi semua pihak perlu bertenang dan menyerah sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan. Lagipun sudah ada yang ditahan bagi tujuan siasatan.

Pada masa sama, ahli-ahli politik juga pandai-pandailah menjaga mulut. Jangan terlalu celupar atau biadab menuding jari kepada mana-mana penjawat termasuklah polis apabila berlaku kes seumpama ini.

Ahli politik sepatutnya lebih matang dan bijak, bukannya cuba mencari publisiti murahan dengan membuat kenyataan yang akhirnya meletakkan penjawat awam dalam bahaya dan tidak mencetuskan isu perkauman.

Sesungguhnya marilah kita berdoa agar Muhammad Adib pulih seperti sedia ada. Pengorbanan yang beliau lakukan terlalu tinggi nilainya dan negara memerlukan khidmat beliau.-UTUSAN ONLINE

One thought on “Apa dosa Muhammad Adib?

  • November 27, 2018 at 17:17
    Permalink

    Andaikan perkara yang sama berlaku pada bangsa ca ya nun.. gegak gempita seluruh malaya dengan sepanduk agar keadilan ditegakkan.

    Reply

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!