Anwar tertekan ketuai PKR?

Share


Tekanan tanpa henti ba­kal dihadapi oleh Pre­siden baharu PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menjadi rujukan penting kesemua pihak termasuk pemberita me­ngenai apa-apa isu membabitkan ahli-ahli partinya.

Keterbukaan yang diamalkan oleh PKR sepanjang ketiadaan Anwar sejak 20 tahun lalu telah menanamkan keberanian ahli-ahli parti untuk membuat sebarang kenyataan yang mungkin dilihat memenuhi prinsip demokrasi, namun bakal memberi tekanan kepada Presiden baharu itu.

Dalam sidang akhbar yang diadakan di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya di sini, hari ini selepas menyampaikan Syarahan Za’ba 2018, Anwar diasak dengan soalan membabitkan kedudukan Pengerusi PKR Sarawak dan rata-rata pemberita menganggap pertanyaan itu membuatkan beliau ‘naik angin’.

“Kamu sibuk apasal (kenapa)? Apa masalah? Kenapa tidak tanya (mengenai) Pengerusi Selangor? Kenapa tidak (Pengerusi) Pulau Pinang atau Perlis?” soalnya.

Beliau mengulas perta­nya­an berhubung dakwaan PKR Sarawak kini berdepan kemelut membabitkan siapa Pengerusi PKR baharu negeri itu iaitu sama ada Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian atau Ahli Parlimen Julau, Larry Sng.

Anwar kemudian menjawab dengan tenang bahawa hal itu akan dirujuk mengikut Perlembagaan parti sebelum keputusan dibuat selain menganggap perkara sebegitu hanya dibangkitkan oleh media.

Pemerhati melihat Baru sebagai pemimpin yang memihak Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali manakala Sng dikatakan menyebelahi Rafizi Ramli, iaitu pemimpin PKR yang dikatakan ‘lebih rapat’ dengan Anwar.

Anwar turut diajukan soalan mengenai laporan bahawa PKR Cabang Rembau, Negeri Sembilan mahu mencadangkan calon lain selain Dr. S. Streram untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, jika diadakan.

Presiden parti itu bagaimana­pun mengingatkan supaya PKR cabang tersebut menggunakan saluran yang betul untuk membuat sebarang cadangan dan menjelaskan perkara tersebut telah diingatkan beliau sebelum ini.

Utusan



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *