Kalaulah menteri kita ada maruah politik

oleh Zulkiflee Bakar

MASIHKAH kita ingat ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah dulu, acap kali kita melihat kelompok yang ada dalam kerajaan kini menggesa seseorang menteri meletakkan jawatan apabila timbul sesuatu isu.

Tetapi apabila kelompok itu sudah menjadi kerajaan dan ada antara mereka telah menjadi menteri jelaslah mereka ‘cakap tak serupa bikin’.

Sebagai contoh, kalau ada maruah politik sudah tentu mereka akan meletakkan jawatan terutamanya apabila mendapati segala yang dijanjikan dalam manifesto tidak ditunaikan.

Tidak perlulah beri alasan atau sekadar meminta maaf kerana janji tetapi janji, kalau tidak mampu tunai janji atau mewujudkan janji semata-mata untuk memperdaya rakyat mengundi mereka,hanya orang yang tidak ada maruah poltik sahaja sanggup menikmati segala kesenangan dan keistimewaan melalui ‘penipuan’ tersebut.

Masihkah kita ingat ada seorang menteri yang ketika berkempen dalam PRU-14 bak kata orang bagai nak gila mengetengahkan hujah, “Penerima PTPTN bukan orang kaya dan harus dibantu! Sedih lihat pelajar yang kena senarai hitam. Kerja pun belum. Tidak adil.”

Bila sudah jadi menteri lain pula nadanya apabila berkata, “Saya ingin menegaskan, bagi mereka yang berkemampuan untuk bercuti di luar negara kamu bertanggungjawab bayar semula pinjaman (PTPTN).”

Masihkah kita ingat ketika mereka berkempen dahulu ada antara menteri ini menjelajah ke seluruh pelosok negara untuk menyakinkan orang Melayu menyokong pakatannya. Janji beliau, jika mereka menjadi kerajaan, pastinya harga-harga barang akan turun dan kerajaan akan membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat tetapi apabila sudah jadi menteri, individu yang sama berkata, “Tidak boleh elak harga mahal, era orang Melayu bergantung kepada kerajaan sudah berlalu.” Adakah menteri berkenaan sudah meletakkan jawatan?

Masihkah kita ingat, ketika kerajaan BN ramai menteri yang menjadi bahan ketawa kerana dianggap tidak cerdik membuat kenyataan, tetapi hari ini ramai yang dianggap cerdik rupanya tidak pandai bagaimana mahu menjadi menteri.

Isu remeh temeh menjadi pilihan seperti masalah stoking, kasut sekolah, mahu ajar renang di sekolah, menggantikan komiditi padi dengan tanaman-tanaman lain, sunat bayi serta beberapa kenyataan lain yang dilihat tidak perlu diutamakan ketika pelbagai masalah lain melibatkan rakyat perlu diutamakan.

Demi maruah politik dan maruah sendiri, seseorang anggota Kabinet juga sepatutnya meletakkan jawatan apabila mendapati apa yang mereka katakan adalah satu fitnah dan pembohongan. Ia kerana tindakan itu telah menipu rakyat untuk mempercayai apa yang mereka katakan kerana kedudukan mereka dalam kerajaan.

Dan terkini tercetus isu bagaimana seorang menteri begitu angkuh meminta wartawan merakam kenyataan bahawa Program Susu 1Malaysia (PS1M) hilang selama setahun bagi 2017, tetapi hasil siasatan Utusan Malaysia, kenyataan menteri tersebut adalah satu pembohongan dan fitnah.

Apabila sudah ‘terkantoi’ maka dikeluarkan satu kenyataan daripada kementerian yang sama sekali tidak menjawab pembohongan menteri tersebut sebaliknya berhujah ‘entah apa-apa’.

Isu pokok iaitu sama ada program itu benar-benar ‘hilang’ pada 2017 betul atau tidak, langsung tidak disentuh. Mungkin pegawai yang membuat kenyataan itu berasa bijak dan mahu melindungi menterinya tetapi kalaulah mereka ada maruah politik sepatutnya kesemua mereka sudah meletakkan jawatan kerana sudah sah apa yang dikatakan oleh menteri itu adalah bohong dan fitnah.

Ketika isu susu tengah panas, tersebar pula klip video kenyataan seorang pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO yang kini bergelar menteri memfitnah negara 10 tahun lalu.

Hujah menteri tersebut, apa yang beliau katakan itu dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Soalnya benarkah apa yang didakwa oleh menteri tersebut contohnya tiada kebebasan agama di Malaysia dan banyak orang India dipaksa tukar agama kalau mahu dilantik penjawat awam atau mahu biasiswa. Layakkah individu seumpama ini terus diberi jawatan dalam Kabinet? Adakah beliau sudah menarik semua dakwaan itu yang ternyata fitnah besar kepada Malaysia secara keseluruhannya?

Kesimpulannya, jika individu-individu berkenaan mempunyai maruah politik, mereka sepatutnya meletakkan jawatan. Tidak payahlah beri alasan kerana pandai belum tentu cerdik dan cerdik belum tentu pandai. Apa maksudnya? Dengan menilai tindakan dan kenyataan menteri-menteri, anda pasti memahaminya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *