HARAPAN COIN SCAM TERBARU KERAJAAN?

oleh Ab Jalil Backer

Perkataan scam mula digunakan di Amerika Syarikat seawal tahun 1960-an yang merujuk kepada komplot mewujudkan skim atau rancangan bagi menipu orang ramai untuk keuntungan cepat.

Ia kemudiannya menjadi popular dalam slanga merujuk kepada kegiatan jenayah di negara tersebut setelah digunakan oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dalams sebuah operasi banteras pengedaran dadah.

Kamus Cambridge kemudiannya mendefinisikan scam sebagai “an illegal plan for making money, especially one that involves tricking people.” Justeru agak memalukan apabila kita perhatikan kerajaan hari ini telah dipengaruhi unsur scam ini.

Sudah tentu scam terbesar ialah Manifesto Pakatan Harapan apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengakui ia disediakan tanpa hasrat untuk melaksanakan sepenuhnya.

Kemudian kita membaca kisah seorang ahli perniagaan yang menyumbang beratus ribu kepada Pakatan Harapan Perak dalam pilihan raya lalu kerana dijanjikan sebagai Penasihat Ekonomi Negeri. Beliau akhirnya mendedahkan setelah tidak dilantik ke jawatan terbabit. Ini baru seorang yang bersuara.

Dalam Bajet 2019 juga terdapat kritikan bahawa pengenalan insentif P2P dalam aktiviti penjualan rumah merupakan satu scam kerana tidak jelas pelaksanaannya dan boleh menyebabkan pembeli rugi pada masa hadapan.

Malah tindakan Menteri Kewangan melancarkannya bersama sebuah syarikat pemaju dua hari selepas pembentangan bajet (Bajet 2019 belum diluluskan) menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena.

Baru-baru ini dua orang menteri hadir dalam majlis sebuah syarikat yang dikatakan terkait dengan kegiatan scam.

Scam terbaru dan sangat membimbangkan ialah permintaan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad, supaya kerajaan dan bank Negara Malaysia (BNM) menerima penggunaan Harapan Coin dalam kegiatan urusan kewangan negara.

Adalah sangat membimbangkan ketika nilai Ringgit Malaysia sedang terjunam berbanding USD, dan rizab BNM yang makin mengecil, Kerajaan sibuk untuk mencari jalan membenarkan Harapan Coin digunakan secara rasmi dalam urusan negara. Ini hanya akan menambah indeks ketidakpercayaan pelabur terhadap ekonomi negara.

Lebih membimbangkan PH tidak segan silu menggunakan kemenangan dalam pilihan raya lalu untuk melaksanakan agenda-agenda peribadi mereka berunsurkan scam ini.

Harapan Coin ialah sejenis cryptocurrency atau matawang digital yang diperkenalkan oleh sebuah syarikat sebelum pilihan raya umum lalu, dengan Khalid Samad sebagai jurujual utamanya.

Dalam klip video promosi tersebut Khalid Samad yang menjadi “jurujual” menyatakan Harapan Coin dijual sebagai mencari sumbangan kepada Pakatan Harapan untuk menjatuhkan Barisan Nasional dalam pilihan raya lalu. Semua wang pembelian Harapan Coin dibahagikan antara parti politik dan syarikat terbabit.

Apakah makna matawang digital ini? Matawang digital atau kripto pertama kali muncul dengan pengenalan Bitcoin. Sehingga hari ini Bitcoin dan lain-lain matawang digital masih menjadi satu polemik di seluruh dunia.

Jangan keliru matawang digital dengan traksaksi digital. Transaksi digital masih mengunakan matawang sedia ada sesebuah negara.

Manakala matawang digital merupakan satu jenama baharu yang terhasil melalui penjanaan sistem komputer, dan tidak terikat kepada peraturan-peraturan ekonomi sebenar. Nilainya ditentukan sepenuhnya oleh faktor permintaan dan penawaran sesuatu jenis matawang kripto tersebut.

Nilai matawang digital ditentukan sepenuhnya oleh spekulasi ada orang akan membeli dengan harga lebih mahal. Ia boleh runtuh apabila tiada permintaan untuk membeli. Ini sama seperti spekluator matawang yang menyebabkan krisis kewangan 1997.

Namun spekulasi matawang digital ini lebih berbahaya kerana bukan sahaja nilainya tidak bersandarkan apa-apa realiti, malah kenaikan nilai hanya dengan harapan suatu hari nanti ia akan digunakan dalam semua transaksi. Mereka mewujudkan keadaan ekonomi palsu atau false economy.

Ini berbeza dengan matawang fiat seperti Ringgit, Dollar, Pound Sterling dan lain-lain matawang rasmi yang dijamin oleh Bank Pusat negara terbabit. Walapun nilai matawang fiat juga ditentukan oleh pasaran namun ia mempunyai unsur kawalan dan jaminan oleh Bank Pusat.

Permintaan dan penawaran berdasarkan ekonomi sesebuah negara bukannya jangkaan nilai akan naik pada masa depan. Nilai muka wang fiat dijamin oleh kerajaan yang mengeluarkannya dan bersandarkan kepada kekuatan ekonomi sesebuah negara.

Misalnya hari ini anda membeli 1 bitcoin pada harga RM23 ribu. Keesokannya belum tentu anda boleh menukar Bitcoin tersebut kepada ringgit semula jika tiada sesiapa yang mahu membeli Bitcoin anda. Oleh kerana matawang digital ini tidak dijamin oleh mana-mana Bank Pusat atau kerajaan, maka orang terakhir memegang matawang ini ketika pasaran musnah akan menanggung kerugian.

Ini berbeza dengan matawang fiat, jika esok anda mahu menukar ringgit kepada Dollar, pertukaran anda dijamin oleh Bank Pusat dan kerajaan walaupun tiada orang mahu membeli wang anda.

Sudah tentulah matawang fiat juga boleh hilang nilai dalam keadaan luar biasa seperti kiamat ekonomi, perang dunia, kerajaan terbabit muflis atau Bank Pusat mencetak wang melebihi sepatutnya. Namun risikonya sangat kecil berbanding matawang digital yang tidak bersandarkan realiti ekonomi.

Isu lebih besar ialah ialah soal kedaulatan sesebuah negara. Anda tidak boleh benarkan komputer milik kumpulan tertentu menentukan pengeluaran wang dan nilainya.Sehingga hari ini tiada siapa tahu identiti sebenar pengasas Bitcoin.

Bukanlah menghairankan sangat mengapa Khalid Samad begitu bersungguh mahu kerajaan mengiktiraf matawang digital ini, ketika Bank Pusat seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, yang mempunyai kemampuan komputer antara terhebat, enggan menerimanya.

Ini adalah taktik untuk merompak wang rakyat!

Jika dibaca di laman web mereka jelas Harapan Coin telah dijual untuk membiayai tabung politik Pakatan Harapan. Wang pembelian Harapan Coin telah masuk dalam tabung parti politik.

Hari ini Harapan Coin (HRP) tidak bernilai apa-apa walaupun mereka meniagakannya pada nilai HRP100 bersamaan dengan USD45. Pembeli Harapan Coin hanya menjadi mangsa skim cepat kaya Pakatan Harapan.

Namun sebaik sahaja kerajaan membenarkan penggunaan Harapan Coin untuk urusan rasmi ia akan menjamin nilai Harapan Coin. Pemilik Harapan Coin boleh membayar cukai dan membeli barangan di Malaysia menggunakan HRP dan Bank Negara perlu menerima permintaan penukaran HRP kepada matawang lain.

Tentu orang akan berkata BNM pun mencetak dan mengedarkan wang. Apa yang berlaku ialah BNM mencetak dan mengedarkan wang berdasarkan keperluan dan kekuatan ekonomi. Ia juga digunakan sebagai pembayaran kepada perkhidmatan kerajaan dan pelaksanaan projek rakyat sekaligus menjana ekonomi negara.

Sebaliknya HRP diterbitkan mengikut permintaan bagi mengaut wang masuk ke kantung Pakatan Harapan. Yang menakutkan nilai ini akan ditanggung oleh wang rakyat tanpa penjanaan ekonomi.

Sebenarnya ini adalah rancangan Pakatan Harapan untuk membayar semula pembiaya kempen politik mereka menggunakan wang negara dan memanipulasi wang negara pada masa hadapan.

Harapan Coin jika dilaksanakan merupakan scam yang lebih besar berbanding manifesto mereka. Ia scam yang bakal mencabar kedaulatan dan hak sesebuah negara dengan memberi hak menerbitkan matawang kepada sebuah parti politik.

Pilihlah peribahasa mana yang anda suka menggambarkan keadaan kerajaan kita pasca 9 Mei 2018, “Tanam lalang tak tumbuh padi”; “Tanam padi tumbuh lalang, ayam ditambat disambar helang”; atau “Basah kuyup mandi peluh, tanam padi lalang yang tumbuh.”

*Sebahagian artikel ini telah tersiar dalam Sinar Harian 19 November 2018: http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/ab-jalil-backer/harapan-coin-scam-terbaharu-1.906277)

2 thoughts on “HARAPAN COIN SCAM TERBARU KERAJAAN?

  • November 19, 2018 at 7:15 pm
    Permalink

    Ramai beli Bitcoin Pun rugi tak payah buang duit buat harapan coin menipu je Bitcoin itu ciptan Orang jepun Pun tak nak gunakanya dan yg gunakan isreal tujuan untuk ambil ahlir mata wang us dollar itu, kita nak tiru isreal itu buang masa

    Reply
  • November 19, 2018 at 7:32 pm
    Permalink

    Tak payah Terpedaya dengan isreal dan singapore Nak keluarkan harapan coin ini tak payah lah Bitcoin cryptocurrency berapa banyak orang bankrap sebabnya kawan beli 40ribu hilang begitu je sebab cryptocurrency jatuh

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *