Pegetah gesa menteri turun padang, wujudkan harga lantai getah sekerap

Badan Bertindak Penoreh Getah Tanah Merah (Pegetah) menggesa Menteri Industri Utama, Teresa Kok turun padang untuk melihat sendiri penderitaan yang ditanggung oleh golongan tersebut hari ini.

Pengerusi Pegetah, Izani Zakaria berkata, pihaknya menerima hakikat hakikat kerajaan tidak mahu memberikan insentif seperti sebelum ini namun penyelesaian yang jelas perlu dilaksanakan segera.

Justeru, beliau mencadangkan supaya kerajaan menetapkan harga lantai untuk getah sekerap dengan melaksanakan mekanisme stok penimbal.

“Kerajaan membeli getah dengan harga yang tinggi kemudiannya jadikannya sebagai stok sebelum menjual semula apabila harga komoditi itu naik. Lembaga Getah Malaysia pernah buat cara ini.

“Menteri perlu lihat perkara ini dengan serius, turun padang bukan tunggu orang jemput datang atau duduk di pejabat saja kerana rakyat mengharapkan kerajaan baharu ini dapat membantu mengurangkan kos sara hidup dan hidup lebih senang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak berminat untuk memberikan insentif kepada golongan penoreh getah, peneroka sawit dan nelayan.

Kerajaan akan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah itu untuk jangka panjang.

Izani berkata, keadaan sekarang amat kritikal kerana golongan penoreh tidak sempat untuk membuat persediaan kerana harga getah jatuh mendadak disusuli dengan musim tengkujuh.

“Kebanyakan penoreh tidak ada kebun getah sendiri, kalau ada pun tidak besar, cukup-cukup makan sahaja. Mereka tidak ada tanah untuk bercucuk tanam tambah pendapatan.

“Teruk sangat keadaan sekarang, harga getah sekerap RM2.20 sekilogram, kalau menoreh getah (milik) orang kena bahagi dua, dapat RM1.10 atas sekilogram, tambah pula dengan hujan, nak beli beras pun tak boleh,” katanya.

Tambahnya, ketika pertukaraan kerajaan mereka amat gembira apabila cukai jualan dan perkhidmatan (GST) dihapuskan namun selepas SST diperkenalkan harga tidak berubah malah semakin buruk. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker