Penduduk terima risalah Kristian

Lebih 30 penduduk di sekitar kawasan Taman Kuala Bekah dekat Penaga di sini menerima risalah berkaitan Kristian bertajuk ‘How To Know God’ yang diletakkan di dalam peti surat rumah mereka awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pihaknya menerima laporan daripada salah seorang penduduk yang menerima risalah itu pada pukul 8.25 pagi.

“Berdasarkan laporan yang diterima, polis yang menjalankan siasatan mendapati risalah yang ditulis dalam bahasa Inggeris dan bahasa Malayalam itu turut dihantar kepada lebih 30 penduduk lain di kawasan itu.

“Pihak Komuniti Rukun Tetangga taman itu juga memaklumkan tidak terdapat kenderaan atau individu mencurigakan masuk ke kawasan itu selain daripada penduduk setempat dan kejadian itu adalah kali pertama berlaku,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, tiada sebarang kesan cap jari pada risalah terbabit dan risalah itu kini dirampas oleh pihak polis.

Jelas Noorzainy, kes itu disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *