ICERD : Ruang langgar institusi Melayu

Pengesahan atau proses meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang dinyatakan kerajaan Pakatan Harapan hanya dilihat sebagai ruang untuk melanggar kedaulatan institusi Melayu Islam dan bumiputera.

Penganalisis sosio politik Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, proses tersebut akan menjarakkan lagi jurang antara kaum yang selama ini sudah dipisahkan oleh kolonial barat.

“ICERD dibuat berdasarkan acuan barat dan tidak meraikan kepelbagaian etnik, agama dan sejarah budaya yang berbeza. Ia juga dilihat sebagai satu bentuk kolonialisme baharu yang cuba campur tangan hak dan kedaulatan sesebuah negara seperti Malaysia atas nama prinsip sama rata.

“Selain itu, dengan adanya ICERD, ia juga akan membuatkan proses pe­nyatuan dalam kalangan rakyat di negara ini menjadi sema­kin sukar,” katanya ketika di hubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Awang Azman berkata, ICERD juga hanya digunakan untuk menindas negara kecil de­ngan meminggirkan penduduk pribumi.

“Perkara ini perlu ditentang secara ilmiah dan dijadikan isu nasional kerana memberi ancaman kepada situasi kepelbagaian etnik dalam negara,” jelasnya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, proses me­ratifikasi ICERD akan merencatkan pembinaan negara bangsa.

“Kebimbangan terhadap isu ini akan menimbulkan syak wasangka terhadap kerajaan Pakatan Harapan. Selain itu, akan ada kesan yang besar kepada Perlembagaan Persekutuan khususnya aspek kebebasan beragama,” ujarnya.

Utusan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker