Elaun sara hidup nelayan dihentikan?

Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (Penentu) mahu kerajaan menjelaskan sama ada segala bentuk bantuan terus kepada golongan itu akan diteruskan atau dihentikan.

Pengerusinya, Mat Yassin Mohamed berkata, mereka masih tertanya-tanya kedudukan sebenar membabitkan elaun sara hidup di samping subsidi diesel dan petrol kerana perkara tersebut langsung tidak disentuh dalam pembentangan Belanjawan 2019 oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) semalam.

Katanya, separuh daripada kira-kira 10,000 nelayan di negeri ini masih memerlukan segala bantuan tersebut bagi membantu meringankan beban mereka terutama dalam menghadapi musim tengkujuh bermula bulan ini hingga Februari tahun depan.

“Dalam pembentangan semalam hanya diumumkan peruntukan untuk Kementerian Pertanian, jadi saya tidak pasti adakah segala keistimewaan yang diterima nelayan selama ini daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) akan diteruskan, dikurangkan atau dimansuhkan sebab butiran tentangnya tidak diperincikan.

“Tidak dinafikan seluruh nelayan terkesan dan kecewa kerana saban tahun kita menantikan pembentangan belanjawan kerajaan tetapi kali ini kita tidak mendengar apa-apa berita gembira,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2019 semalam yang menyentuh sektor pertanian secara keseluruhan hanya menyebut peruntukan berjumlah RM47 juta untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) produktiviti benih, bijirin dan buah-buahan, RM18 juta lagi untuk automasi industri agromakanan dan RM52 juta untuk pelaksanaan program keusahawanan dan latihan industri tani.

Ia jauh berbeza dengan Bajet 2018 kerajaan BN yang memberi RM6.5 bilion kepada kelompok pesawah, petani, peladang, nelayan, pekebun kecil, penternak dan penoreh getah termasuk RM2.3 bilion bagi bantuan dan insentif seperti baja dan input pengeluaran kepada pesawah, pekebun kecil, getah dan nelayan.

Menurut Mat Yassin, mungkin kalangan nelayan makin kurang keluar ke laut kelak dan ini bakal menyebabkan kenaikan harga ikan di pasaran yang mungkin tambah meresahkan rakyat.

“Kami faham kerajaan mahu melakukan penjimatan tetapi bantuan ini amat bernilai untuk golongan nelayan yang memberi mereka motivasi untuk bekerja, dan bukan menyebabkan mereka malas.

“Kalau dihapuskan maka harga ikan di Malaysia akan menjadi lebih mahal kerana kos nelayan ke laut hingga satu tahap mungkin kerajaan terpaksa mengimport bekalan lebih besar bagi menampung permintaan yang tidak mencukupi,”ujarnya.- UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker