Malaysia kini tangga ke 15 Perniagaan Terbaik Dunia hasil usaha BN

Malaysia kini di tangga ke-15

Malaysia berjaya me­nempatkan diri dalam senarai 20 negara teratas, naik sembilan anak tangga untuk berada pada tangga ke-15 daripada 190 negara dalam Laporan Menjalankan Perniagaan 2019 Bank Dunia.

Tahun lalu, Malaysia berada di kedudukan ke-24. Kedudukan itu menjadikan Malaysia negara kedua di rantau ASEAN selepas Singapura yang berada di tangga kedua selepas New Zealand.

Dalam laporan itu, Malaysia antara lima negara mempamerkan prestasi tertinggi dalam beberapa bidang bagi menguruskan perniagaan, antaranya, Malaysia berada di belakang New Zealand dalam Melindungi Pelabur Minoriti dengan meraih 10 markah penuh.

Dengan kedudukan itu, Malaysia juga mendahului beberapa negara lain seperti Australia di tangga ke-18, Kanada (22), Jerman (24), Jepun (39), China (46) dan India (77).

Menurut Pe­ng­­­analisis Kanan dan Pakar Statistik Bank Dunia, Arvind Jain, kedudukan Malaysia yang berada dalam kelompok 20 negara teratas itu diukur berdasarkan enam langkah pembaharuan perniagaan yang dilaksanakan kerajaan bagi menjadikan perniagaan lebih mudah dan pantas.

Antara langkah itu terma­suklah melaksanakan sistem pendaftaran dalam talian bagi cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan mengurangkan pendaftaran perniagaan baharu daripada 23.5 hari kepada 13.5 hari.

Selain itu, Malaysia juga berjaya memperkemaskan­ proses mendapatkan permit ba­ngunan dengan me­ngurangkan masa yang diperlukan untuk membina gudang dari 78 hari kepada 54 hari. “Proses mendapatkan tenaga elektrik juga dipermudahkan dengan memansuhkan lawatan tapak bagi sambungan elektrik komersial baharu, mengurangkan masa selama tujuh hari bagi perniagaan mendapatkan sambungan dan bekalan elektrik yang kekal,” katanya dalam sidang akhbar membentangkan laporan tersebut di sini hari ini.

Dalam laporan yang dipertingkatkan dari segi kaedah penilaian itu, Malaysia meraih skor 80.60 mata, berbanding 78.43 yang diraih tahun lalu.

Bagaimanapun, dari segi Memulakan Perniagaan, Malaysia kekal ketinggalan berbanding negara utama lain dengan menduduki tempat ke-122.

Walaupun beberapa pembaharuan dilakukan tahun lalu dan awal tahun ini, bidang tersebut memerlukan 9.5 prosedur dan 13.5 hari untuk mendaftarkan perniagaan baharu di Malaysia berbanding dua prosedur dan 1.5 hari di Singapura dan 3.5 prosedur dan 5.5 hari di Brunei Darussalam.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Lei­king berkata, menerusi Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) yang dipengerusikannya dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, kerajaan akan memperkukuhkan struktur sedia ada dalam menangani isu-isu di pe­ringkat dasar dan pelaksanaan.

Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *