Selepas Maszlee, pengerusi PKR Perak pula dilantik ke UniSZA

Selepas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik dilantik sebagai presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIA), kini Pengerusi PKR Perak, Datuk Dr Muhammad Nur Manuty pula dilantik mengetuai Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) selama 3 tahun.

Pelantikan itu diumumkan dalam laman media sosial rasmi UniSZA semalam.

“Sekalung tahniah Datuk Dr Muhammad Nur Manuty di atas pelantikan sebagai pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA berkuat kuasa 1 Oktober 2018 hingga 30 September 2021.”

Muhammad mengesahkan pelantikannya, tetapi enggan mengulas mengenai manifesto Pakatan Harapan (PH) yang tidak membenarkan lantikan politik dalam universiti awam.

“Mereka (UniSZA) baru lantik, saya baru terima suratnya. Saya tidak mahu komen, kena tanya menteri,” katanya ketika dihubungi FMT.

Muhammad berkata, beliau tidak menerima sebarang bayaran atas pelantikannya sebagai pengerusi lembaga pengarah universiti berkenaan.

Maszlee pernah dikritik pelbagai pihak, termasuk ahli politik PH atas pelantikannya sebagai presiden ke-8 UIA, awal bulan lalu.

Sementara itu, Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) yang merupakan sebahagian sayap di bawah PKR menuntut penjelasan Maszlee berhubung pelantikan Muhammad yang melanggar prinsip autonomi universiti diperjuangkan PH.

Timbalan Presiden MKM, Haissazc Shuqkin Hisham berkata, Kementerian Pendidikan tidak mempunyai keinginan untuk mengubah budaya lantikan politik dalam lembaga pengarah universiti.

“Berdasarkan rekod dan sumbangan beliau di universiti, terutamanya di UIA, saya boleh menganggap beliau juga merupakan kenalan baik menteri (Maszlee).

“Namun, demi menghormati prinsip autonomi universiti, saya menganggap beliau tidak layak sama sekali dilantik ke jawatan berkenaan.

“Ia disebabkan penglibatan beliau sebagai ahli politik, yang mana beliau kini merupakan pengerusi PKR Perak yang juga calon Parlimen Bagan Serai pada pilihan raya umum ke-14 lalu.”

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker