Peguam Najib gesa Jho Low serah diri

 

Peguam utama yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berharap ahli perniagaan, Jho Low yang sedang diburu pihak berkuasa kerana mempunyai kaitan dalam skandal 1Malaysia Development Berhad(1MDB) untuk menyerah diri.

Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah berkata, ia bagi memberi peluang pasukan pembelaan untuk menyoal balas ketika perbicaraan nanti.

Malah pada masa sama ia juga akan memudahkan pihak pendakwaan turut menyoal Jho Low atau nama sebernanya Low Taek Jho, 36.

“Saya harap sangat Jho Low akan menyerah diri kerana terdapat banyak dokumen yang berkaitan bagaimanapun tiada sesiapa yang boleh membuktikannya.

“Sekiranya Jho Low berada di negara ini, dia tiada pilihan lain selain menjadi saksi dan saya ingin menyoal balasnya,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Tuanku Abdul Halim sebentar tadi.

Najib, 65, sebelum itu, mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram melibatkan dana RM42 juta berkenaan SRC International Sdn. Bhd.

Beliau juga membuat pengakuan sama terhadap tiga pertuduhan pindaan berkaitan kesalahan pecah amanah dan satu pertuduhan pindaan kes salah guna jawatan untuk kepentingan peribadi melibatkan dan dana dan syarikat sama.-UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker