Menobatkan Anwar PM ke-8

oleh Ab Jalil Backer

ADA beberapa pihak memomokkan PRK Parlimen Port Dickson sebagai penghinaan demokrasi dan agenda politik peribadi kerana ia dikosongkan bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke Parlimen.

Selain Barisan Nasional yang membuat keputusan tidak bertanding kerana menganggap ia hanyalah mainan politik kerajaan, beberapa aktivis politik dalam komponen Pakatan Harapan sendiri tidak senang dengan pilihan raya kecil yang sengaja diadakan ini.

Pilihan raya kecil ini diadakan setelah Datuk Danyal Balagopal Abdullah dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) menghantar surat peletakan jawatan sebagai ahli Parlimen tersebut.

PRK ini tidak harus dilihat sebagai usaha menghina, sebaliknya ia merupakan usaha menjadikan proses demokrasi di negara ini lebih jujur dan terbuka. Setelah sekian banyak penipuan dan penafian dalam melaksanakan manifesto Pakatan Harapan (PH) selepas pilihan raya, maka ini peluang kerajaan melaksanakan salah satu janji tersebut.

PH masuk dalam pilihan raya umum lalu menggunakan lambang PKR dan berjanji bahawa Tun Dr Mahathir hanyalah perdana menteri transisi selama dua tahun sebelum memberi laluan kepada penobatan Anwar sebagai perdana menteri.

Justeru, PRK ini perlu diadakan bukan kerana batang tubuh Anwar atau PKR tetapi kerana rakyat telah memberi mandat kepada janji-janji pilihan raya PH termasuklah mengenai kedudukan Anwar.

Setelah sekian banyak manifesto lebih penting seperti pemansuhan tol, pendidikan percuma, pengekalan BR1M dan lain-lain gagal dipenuhi, apakah Mahathir tidak berhasrat untuk melaksanakan salah satu janji paling mudah ini.

Jika Mahathir berhasrat memenuhi janji ini maka soal masa bukan isu. Anwar perlu ke Parlimen bagi memenuhi janji pilihan raya dalam masa dua tahun lagi serta untuk kestabilan kerajaan.

Apa akan terjadi jika Mahathir meninggal dunia dalam masa terdekat dan Anwar bukan ahli Parlimen? Sudah tentu janji perdana menteri ke-8 dalam PRU lepas tidak dapat dipenuhi. Jadi soal masa tidak wajar dibangkitkan.

Mereka yang bercakap soal masa yang tidak sesuai ialah mereka yang tidak mahu Anwar menjadi perdana menteri pada bila-bila masa pun.

Ada yang takut kerana mereka sebahagian pasukan konspirasi menjatuhkan Anwar pada 1998 dan kini bersama Mahathir dalam kerajaan. Ada yang tidak mahu Anwar menjadi perdana menteri kerana mereka benci atau tidak percaya Anwar.

Ada pula kaum tertentu yang mahukan Mahathir kekal perdana menteri selama boleh selagi DAP “berkuasa”. Ada pula kumpulan tertentu yang telah menjadi menteri khuatir mereka tidak lagi menjadi menteri selepas Anwar berkuasa.

Malah cabaran Anwar bertambah sengit apabila Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baharu, Art Harun, secara terbuka sebelum pelantikannya mengkritik usaha menjadikan Anwar perdana menteri ke-8.

Maka Anwar dalam langkahnya ke Putrajaya sekali lagi berhadapan dengan orang-orang Mahathir seperti mana 1998. Pengumuman Tan Sri Isa Samad untuk bertanding menentang Anwar menampakkan jelas “tangan-tangan” pro-Mahathir dalam menggagalkan langkah Anwar.

Secara tiba-tiba juga Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan dibubarkan dan bakal ditubuhkan semula. Seolah-olah ia memberi gambaran awal kelesuan sokongan kepada Anwar nanti.

Tidak cukup itu, Bersatu melantik Tan Sri Rais Yatim sebagai Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan yang baharu. Rais Yatim diketahui “seteru politik” dengan Anwar dan antara yang membakar jambatan dengan Umno menyertai sejak zaman Semangat 46 selepas pemilihan Umno 1987.

Beliau hanya melunakkan pandangan terhadap Anwar termasuk mencadangkan kemunculan semula gandingan Mahathir-Anwar dalam kerajaan beberapa minggu ini sebelum dilantik sebagai pengerusi negeri.

Anwar mungkin ada pelbagai sisi gelap, namun beliau adalah seorang Melayu, Islam dan nasionalis yang pada suatu ketika meletakkan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini dalam keadaan bertolak ansur dan saling memahami.

Anwar adalah orang yang memperkenalkan dialog peradaban dan antara agama, mengangkat karya sastera dan bahasa Melayu dan antara yang pertama bercakap mengenai kronisme dalam ekonomi negara. Ini sesuatu yang bertentangan dengan sifat Mahathir dan antara yang menjurus beliau dipecat.

Tidak seperti Mahathir yang mempunyai ciri autokratik, Anwar seorang yang terbuka, pandai menenteramkan keadaan dan menjaga perasaan musuh politik.

Yang penting Anwar adalah orang yang memahami dan menjaga kepentingan dan perasaan rakyat bawahan. Maka tidak hairan apabila dipecat pada 1998, pada zaman tiada komunikasi media sosial yang kuat dan media utama dikawal Mahathir, ratusan ribu orang turun atas jalan mempertahankan beliau.

Suka atau tidak, Anwar boleh menjadi perdana menteri yang lebih baik dari Mahathir hari ini. Jika Mahathir dan DAP tidak mahu Anwar menjadi perdana menteri ke-8, mereka perlu membubarkan Parlimen dan meminta mandat baharu.

* Penulis ialah Presiden Angkatan Karyawan nasionalis (Akar)

Sinar

Related Articles

2 Comments

  1. Kita tunggu dan lihat sajalah, tak payah nak bodek berlebih-lebihan.
    Harap bila Anwar jadi PM dia takkan arahkan Bank Negara hidupkan duit rm1000 dan rm500..00!!!

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker