Mansuh projek Mesra Rakyat rugikan rakyat

Pemansuhan projek Mesra Rakyat hanya akan merugikan masyarakat khususnya di kawasan luar bandar.

Menurut beberapa Ahli Parlimen yang dihubungi, projek berkenaan diluluskan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini berdasarkan permintaan dan keperluan yang dinyatakan oleh rakyat di kawasan terbabit dan jika dibatalkan, sudah tentu pelbagai usaha pembangunan insan, kemasyarakatan serta kerohanian tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jaluddin Alias berkata, walaupun beliau memahami kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika ini menghadapi masalah kewangan yang agak meruncing, namun pihak kerajaan sepatutnya mencari jalan untuk meneruskan projek tersebut selaras tanggungjawab mengutamakan kebajikan rakyat.

Beliau mengambil contoh kawasan luar bandar seperti di Parlimen beliau, projek pembinaan dewan besar di Jelebu dan kompleks sukan di Pertang yang dikatakan terlibat dalam pemansuhan itu amat diperlukan oleh rakyat.

“Sebelum ini kedua-dua kawasan berkenaan tidak memiliki kemudahan itu menyebabkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan terutama melibatkan golongan muda sukar untuk dijalankan. Itu sebabnya kenapa kerajaan BN sebelum ini pada 2017, meluluskan kedua-dua projek berkenaan demi menjaga kepentingan dan keperluan rakyat di kawasan Jelebu.

“Kita faham kerajaan PH ketika ini menghadapi masalah kewangan yang disebabkan penyusutan pendapatan kesan daripada penghapusan cukai barang dan perkhidmatan (GST), tetapi sebagai pemerintah ia perlu mencari jalan penyelesaian supaya keperluan rakyat dapat dijaga,” katanya kepada Utusan Online ketika dihubungi hari ini.

Jalaluddin turut memaklumkan walaupun masih belum menerima sebarang maklumat rasmi daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), beliau akan membawa isu ini ke Parlimen pada persidangan penggal kedua yang akan berlangsung 15 Oktober depan untuk mendapatkan penjelasan kerajaan.

Laporan muka depan akhbar Utusan Malaysia hari ini menyebut lebih 4,000 projek Mesra Rakyat merangkumi setiap kawasan Parlimen di seluruh negara yang telah diluluskan pada 2018 dibatalkan oleh kerajaan PH.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan dilaporkan mendakwa keseluruhan projek tersebut dianggarkan bernilai lebih RM100 juta.

Menurut Nasrudin, Johor adalah negeri yang mempunyai jumlah projek Mesra Rakyat paling tinggi iaitu sebanyak 800 buah diikuti Kedah dan Negeri Sembilan masing-masing mempunyai 500 buah projek.

Kebanyakan projek-projek berkenaan adalah di kawasan luar bandar dan merupakan projek keperluan masyarakat setempat seperti masjid, dewan dan jalan raya.

Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong ketika mengulas isu yang sama pula menyatakan, pembatalan projek yang membabitkan kepentingan dan keperluan rakyat sepatutnya dilakukan hanya sekiranya didapati berlaku perkara-perkara yang salah dalam pelaksanaannya.

Jelas Ka Siong, kesalahan seperti kualiti kerja; kredibiliti kontraktor atau salah laku seperti rasuah yang akan menjejaskan pelaksanaan sesuatu projek sahaja memberikan kewajaran kenapa projek berkenaan harus dihentikan.

Apapun, menurut beliau, kerajaan perlu segera memberikan laporan dan memberikan alasan serta kewajaran terhadap pemansuhan projek-projek Mesra Rakyat berkenaan jika benar telah memutuskan untuk berbuat demikian.

“Saya sendiri masih belum terima laporan rasmi daripada ICU JPM. Tanpa laporan itu, ahli Parlimen seperti saya tidak dapat merancang tindakan yang sewajarnya untuk diambil bagi menjaga kepentingan rakyat khususnya di kawasan masing-masing.

“Disebabkan ketiadaan laporan itu juga, saya sendiri tidak dapat memastikan jika ada projek Mesra Rakyat di kawasan saya terlibat dengan pemansuhan tersebut. Jika benar keputusan berkenaan telah dibuat, ini satu tindakan yang amat dikesali,” katanya.

Menurut Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad pula, perlu difahami pemansuhan projek-projek Mesra Rakyat berkenaan tidak wajar dilihat sebagai keputusan yang bersifat politik.

Bagi beliau, keputusan berkenaan jika benar-benar telah diputuskan, dibuat selepas pihak kerajaan membuat pertimbangan yang wajar terhadap keadaan semasa ekonomi, kewangan serta keperluannya.

“Jika berlaku pemansuhan, keputusan itu bukan kerana perbezaan politik tetapi lebih kepada pertimbangan ekonomi dan keperluan,” katanya.

Dr. Abdul Latiff turut memaklumkan, setakat ini tiada projek Mesra Rakyat di kawasan beliau dibatalkan berkemungkinan kerana projek-projek berkenaan telah dimohon dan diluluskan lebih awal. – UTUSAN ONLINE

One thought on “Mansuh projek Mesra Rakyat rugikan rakyat

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.