Mahathir Salahkan Ketua Polis Rahim Noor – Munawar Anees

Bekas penulis ucapan untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, Munawar Ahmad Anees mendakwa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyalahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor atas pendakwaan kes liwatnya.

Munawar mendedahkan kepada portal berita FMT, bahawa beliau telah bertemu dengan Mahathir pada tahun 2008, kira-kira 10 tahun selepas ‘zaman gelapnya’.

“Saya menjelaskan kepadanya bahawa saya seorang yang tidak bersalah. Dr Mahathir bagaimanapun berkata dia bertindak atas perintah Ketua Polis Negara (Abdul Rahim Noor),”katanya.

Dalam pergaduhan politik Mahathir – Anwar Ibrahim pada 1998, Munawar Anees telah ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 19 Sepetember 1998 dan didakwa atas kesalahan seks luar tabie dengan Anwar Ibrahim pada 20 Sepetember 1998.



Dr Munawar A. Anees yang merupakan rakyat Pakistan dihukum penjara enam bulan setelah mengaku bersalah melakukan perbuatan kelucahan melampau dengan membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim meliwatnya.

Mahkamah sesyen memerintahkan Munawar, 51, seorang perunding dengan syarikat Real Mild Sdn Bhd dan penulis ucapan Anwar Ibrahim menjalani hukuman itu mulai tarikh dia ditangkap.

Munawar, yang mempunyai taraf pemastautin tetap di Malaysia dan Amerika Syarikat, mengaku bersalah terhadap tuduhan berikut:

”Bahawa kamu dalam bulan Mac 1993 pada sebelah malam di No. 8, Jalan Setiamurni 1, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, telah melakukan perbuatan kelucahan melampau dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim memasukkan zakarnya ke dalam jubur kamu dan oleh yang demikian, kamu telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan.”



Munawar didakwa oleh Penlong Pendakwaraya, Tan Sri Abdul Ghani Patail.
Bagaimanapun Munawar pada Jun lalu membuat tuntutan baru untuk membersihkan namanya atas pengakuan yang didakwa palsu yang digunakan pada 1998 untuk mengaitkan bekas timbalan perdana menteri itu dengan liwat.

Munawar membuat tuntutan ini memandangkan pengampunan penuh dan pembebasan yang diberikan kepada Anwar oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V bulan lepas.

Menurut peguamnya, Manjeet Singh Dhillon, satu writ akan dibuat di Mahkamah Tinggi meminta ganti rugi untuk kehidupan yang terjejas sejak 20 tahun lalu akibat pemenjaraan, penyeksaan dan penderaan.

Sebagai alternatif, Munawar meminta satu perbicaraan baru di mana pihak pendakwaraya boleh membentangkan semua bukti-bukti yang ada.



Manjeet, dalam prosiding sivil pada 2011, memberitahu mahkamah bahawa Munawar dipaksa memalsukan bukti terhadap Anwar berkaitan liwat.

Namun, Munawar, 70, tetap menolak idea untuk mendapatkan pengampunan, dan masih mahu mendapatkan keadilan di mahkamah bagi membuktikan dirinya tidak bersalah.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker