Jika UMNO mahu kuasa semula

Azman Anuar

UTUSAN ONLINE

 

UMNO sebuah parti yang lama, ditubuhkan 72 tahun yang lalu. Jika umur sebegini pada manusia, maka akan muncul bermacam-macam penyakit.

Jika tidak dijaga kesihatan akan ada penyakit seperti kencing manis, gout atau darah tinggi. Maklumlah umur sudah tua, begitulah juga dengan UMNO.

UMNO adalah sebuah wadah perjuangan. UMNO yang menerajui Barisan Nasional (BN) hilang tampuk pemerintahan Kerajaan Pusat apabila tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018. Kuasa yang terlalu berpusat dikatakan menyebabkan UMNO menempah kegagalan.

Apa pun UMNO tidak boleh dipersalahkan. Yang salah orang yang menguruskan parti. Individu-individu yang diberikan amanah dikatakan telah menyalah guna amanah yang diberi.

Para pemimpin UMNO pada era awal penubuhannya hingga tahun 1990-an dan awal 2000, kebanyakan yang menjadi menteri dan memegang jawatan penting dalam parti, kerap menyibukkan diri untuk duduk bersama-sama ahli-ahli parti di peringkat bawahan. Sentuhan-sentuhan tersebut tidak berlaku lagi sekarang seperti yang dilakukan oleh menteri yang terdahulu.

Sesetengah menteri daripada UMNO terlalu sibuk menjaga kementerian di bawah jagaan masing-masing. Mereka cemerlang di kementerian tetapi gagal untuk memberi sentuhan kasih dan sayang khususnya kepada ahli akar umbi.

Lompang yang wujud inilah lama-kelamaan menimbulkan rasa marah dan akhirnya memuncak. Kemarahan dan kebencian ini ditambah lagi dengan beberapa isu negara yang tidak ditangani dengan baik.

Kalau dahulu memang benar bersikap diam itu sebagai satu jawapan. Tetapi hari ini tuduhan mesti dijawab. Contohnya banyak isu 1MDB diperkatakan oleh pelbagai peringkat rakyat dan pemimpin pembangkang sebelum PRU-14, tidak diberi jawapan dengan betul. Malahan ahli UMNO sendiri tidak tahu apa-apa kerana tidak mendapat maklumat yang jelas. Akhirnya isu ini dimanipulasi oleh pembangkang hingga meresapi pemikiran rakyat dengan mendalam. Tambahan pula pembangkang menerusi manifestonya dilihat memberi tawaran yang sangat menarik kepada rakyat. Tawaran yang diberi oleh Pakatan Harapan (PH) sangat menarik hinggakan rakyat terutama sebahagian besar orang muda memilih barisan yang diterajui oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Mujur 10 janji 100 hari PH gagal dilunaskan. Kalau tawaran dalam manifesto PH berjaya direalisasikan barangkali UMNO akan tinggal sebagai sejarah.

Kegagalan UMNO dalam PRU-14 adalah kerana sesetengah menteri UMNO gagal memberi jawapan tentang isu rakyat, mereka sibuk jaga urusan di kementerian. Kedua, pada masa itu Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri gagal untuk mengurus jawapan yang baik. Dan ketiga, kebanyakan pemimpin UMNO ketika itu takut untuk bercakap benar. Akhirnya tiga faktor ini memakan diri UMNO.

Tujuh hari lalu, berlangsung Perhimpunan Agung UMNO di PWTC. Ada yang mengangkat isu UMNO perlu bangkit, keluar UMNO adalah pengkhianat dan isu paling penting ialah hala tuju parti keramat ini. Apakah masih relevan atau semakin lemah?

Pada pandangan Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr. Azhar Ahmad, UMNO akan menjadi relevan dan bertambah kuat kerana berdasarkan sejarah apabila UMNO menghadapi krisis, maka akan timbul semula kekuatannya.

Lihat peristiwa krisis dalaman UMNO seperti Dato’ Onn Jaafar keluar daripada UMNO, para pemimpin agama tubuhkan Pas pada 1951, krisis perebutan kuasa 1988 hingga UMNO diharamkan, dan krisis pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998. Semua peristiwa krisis ini membentuk satu perlima perpecahan orang Melayu tetapi parti UMNO tetap bertahan hingga selepas PRU-14. Apa justifikasinya?

Dr. Azhar memberi rumusannya. Ini kerana UMNO masih memenangi hati pengundi di kawasan luar bandar. Jika digabungkan kekuatan UMNO dan Pas sekarang sudah ada 78 kerusi Parlimen. Maknanya kawasan luar bandar masih lagi menaruh harapan kepada UMNO manakala kawasan bandar dikuasai oleh PH.

Pada pandangan peribadi Dr. Azhar, kalau UMNO ingin kembali berkuasa, ia mesti ada faktor ‘wow’ atau kejutan. Apa faktor itu?

Pertama, mana-mana pemimpin UMNO yang sudah lama berbakti tibalah masa untuk mereka turun dan menyerahkan sebaik-baiknya kepada pemimpin lain. Kedua, mana-mana pemimpin UMNO yang merasakan dirinya ada masalah dan peka pada suara-suara rakyat yang tidak mahukan mereka lagi maka perlulah mengundurkan diri.

“UMNO kena berani menggugurkan sesetengah pemimpin. UMNO jangan melihat dalam kelompok sendiri sahaja. Ada pemimpin UMNO boleh menang peringkat jawatan di Bahagian dengan 200 undi perwakilan tetapi bagaimana penerimaan rakyat yang menjadi pengundi dalam PRU.

“Orang UMNO memerhati pemimpin mereka dengan nilai gred A, tetapi rakyat memandang pemimpin yang sama dengan nilai gred C, D atau E. Mana satu pandangan yang UMNO mahu. Sudah tentu pandangan paling penting ialah penilaian rakyat. Dengan pandangan rakyatlah UMNO boleh berkuasa semula.

Sedar diri

“Mana-mana pemimpin yang ada masalah eloklah meletakkan jawatan dengan baik dan tidak perlu dipecat atau seumpamanya. Tidak payah membebankan parti dan pucuk pimpinan. Kita kena sedar diri. Biar UMNO dilihat bersih dan berani mengambil keputusan dan pemimpin UMNO yang ada kes mahkamah perlu dengan rela hati meninggalkan jawatan parti untuk sementara waktu dan tumpu pada perbicaraannya di mahkamah,” kata Dr. Azhar.

Ketiga, UMNO mesti mempunyai tawaran-tawaran baharu. Rakyat ingin melihat apakah tawaran UMNO kepada mereka jika diberi kuasa semula. Tawaran baharu perlu difikirkan bukan sahaja untuk rakyat di Semenanjung tetapi juga di Sabah dan Sarawak.

Pada Dr. Azhar mungkin cadangannya ini ‘nampak gila’ tetapi sama juga tawaran yang dibuat oleh PH. Walaupun tidak disebut dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia bahawa Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara mestilah dipegang oleh orang Islam, kerana sejak dahulu rohnya begitu. Kini sudah berubah bila yang dipilih bukan daripada satu bangsa sahaja tetapi dibuka luas untuk anak-anak Malaysia yang ada integriti, hebat, dan berkebolehan luar biasa.

PH telah mengubahnya dan tercatat dalam sejarah negara apabila orang bukan Islam dilantik sebagai Peguam Negara begitu juga Ketua Hakim Negara. Kita perlu menerima dengan hati terbuka kerana mereka juga anak Malaysia.

Kalau mengambil kira perkembangan itu, UMNO kena melaksanakan apa yang terkandung dalam Perlembagaan, baharulah orang Melayu akan kembali dan bangsa lain pun tidak marah kepada UMNO. Tetapi malangnya BN selama 62 tahun memerintah negara ini, adakah hak-hak orang Melayu dan bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dilaksanakan?

“Jika semua semangat yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan dilaksanakan kepada orang Melayu, Cina, India, ertnik Sabah dan Sarawak serta Orang Asli, mereka tidak akan rasa iri hati, benci dan sebagainya. Inilah yang berlaku kerana Perikatan dan BN tidak melaksanakan sejak awal pemerintahannya.

Apabila BN hendak melaksanakannya selepas PRU-12, ia dikatakan rasis kerana itu bukan amalan negara yang berbilang kaum. Menurut Dr. Azhar, perkara begini tidak perlu berselindung kerana peruntukan itu ada dalam Perlembagaan. Jika sejak awal dilaksanakan, orang Cina, India, etnik Sabah dan Sarawak tidak akan marah tetapi UMNO gagal melaksanakannya sejak awal secara berterus-terang.

“Walaupun ada agenda tersebut tetapi dilakukan secara sembunyi dan sorok-sorok menyebabkan orang marah dan menuduh rasis.

“Kalau UMNO diberi kuasa semula, laksanakanlah apa yang terkandung dalam Perlembagaan kepada semua bangsa di negara ini,” kata beliau.

Kedua, untuk penduduk Sabah dan Sarawak, UMNO kena berani dan memberitahu mereka dengan jelas, kalau UMNO diberi mandat semula, apa yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 mesti dilaksanakan.

Ketiga, tidak salah UMNO memberi autonomi kepada Sabah dan Sarawak. Bagi pandangan Dr. Azhar secara peribadi, jika UMNO diberi kuasa semula, UMNO perlu melantik seorang Timbalan Perdana Menteri dari Sabah atau Sarawak sebagai wakil dari sana.

“Apa salahnya kita meletakkan seorang pemimpin Cina sebagai Timbalan Perdana Menteri yang ketiga atau keempat dalam Kabinet. Tidak ada masalah kerana hanya menyerah jawatan yang memegang portfolio tertentu sebagaimana jawatan dalam Kabinet. Ini semangat Malaysia baharu yang perlu kita terapkan asalkan ia tidak lari daripada semangat Perlembagaan.

“Kalau UMNO mahu menarik semula sokongan rakyat, kenalah berani berubah dan keluar daripada tradisi asalkan tidak lari daripada semangat Perlembagaan Persekutuan. Biarlah orang Sabah dan Sarawak gembira, masyarakat Cina juga gembira. Dengan cara ini saya yakin sokongan rakyat akan kembali.

“Jika tidak, UMNO susah. UMNO kena menjenamakan semula secara berani. Untuk itu UMNO kena berubah barulah ada hala tuju. Jika tidak, ahli parti pening, ke mana arah hendak dituju,” kata Dr. Azhar.

Kalau UMNO dikatakan parti keramat, maka mestilah berani berubah dan jangan ada rasa takut dan malu. Mudah-mudahan dalam masa tiga hingga lima tahun lagi UMNO akan perolehi sokongan rakyat semula dengan syarat apa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan diberi secara keseluruhan kepada anak bangsa.

UTUSAN ONLINE

 

Related Articles

One Comment

  1. artikel kurang tepat, umno jatuh kerana fitnah, dan melayu anggap politik ni macam MLM ( multilevel marketing) dan suka berpuak puak. ini tanah melayu tak perlu tunduk pada cina, mmg strategi kafirun pecah dan perintah. ini bukan soal berapa banyak yg dibagi. klu bagi betis mrk tetap nak peha! tapi ini soal penjajahan abad ke 21. perlukah menjadi sperti palestine melukut ditepi gantang?!

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker