Hati-hati lancar projek kereta nasional ke-3, kata penganalisis ekonomi

Seorang penganalisis ekonomi bimbang dan ragu-ragu dengan projek kereta nasional ke-3 yang dicadangkan Tun Dr Mahathir Mohamad, walaupun ia adalah kereta elektrik.

Pensyarah di Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya (UM), Prof Edmund Terence Gomez menasihatkan kerajaan berhati-hati dalam melaksanakan projek kereta baru itu.

“Ini melibatkan sektor berteknologi sangat tinggi dan saya melihat pada syarikat tempatan. Berapa banyak syarikat yang mempunyai pengetahuan teknologi sedemikian?

“Saya rasa kita perlu melakukan penilaian sewajarnya ke atas sektor itu sebelum membuat keputusan muktamad,” katanya selepas “Persidangan China: China di Asia Tenggara” anjuran South-China Morning Post di ibu negara, hari ini.

Minggu lalu, Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Yusof berkata, projek kereta nasional baru dijangka melancarkan model pertamanya sebelum 2020.

Katanya, kerajaan menyenarai pendek 2 hingga 3 rakan kongsi, termasuk Silterra dan CTRM untuk menyertai projek itu, dan menjangkakan pemilihan dimuktamadkan hujung tahun ini.

Beliau berkata, kereta semi-autonomous (separa pemanduan sendiri) itu dirancang memasuki pasaran dunia bagi memenuhi permintaan generasi muda.

Sementara itu, Gomez percaya perdana menteri sudah belajar daripada pengalaman lampau dan perbincangannya dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo dalam kunjungan rasminya ke negara itu.

“Isu saiz pasaran juga penting. Beliau sudah belajar daripada kesilapan lalu. Beliau berbincang dengan negara lain mengenai pelaksanaan projek ini.”

Beliau bagaimanapun masih mempunyai keraguan mengenai projek itu.

“Apa yang saya akan buat ialah dengar apa yang beliau katakan dan kemudian melakukan penilaian sewajarnya.”

Beliau turut mempersoalkan masa 2 tahun diberikan kerajaan untuk melancarkan kereta baru itu yang disifatkannya bercita-cita tinggi.

“Saya bimbang tentang itu. Masa singkat untuk melancarkannya. Saya ingin tahu sama ada ahli Kabinet juga bersetuju.

“Adakah mereka capai kata sepakat? Saya fikir akan ada perbezaan pendapat antara ahli-ahli kerajaan.”

Beliau turut membangkitkan prestasi mengenai projek kereta nasional pertama, Proton.

“Saya sedar kita mempunyai Perodua dan prestasinya baik.

“Corak pemilikan Perodua dan Proton berbeza, tetapi kedua-dua syarikat itu mempunyai pemilikan kerajaan,” katanya sambil menambah pemilikan syarikat swasta melebihi kerajaan dalam pengurusan Perodua.

Katanya, kerajaan perlu melakukan kajian lebih terperinci, termasuk bagaimana ia ditubuhkan, pengalaman daripada Perodua dan Proton serta isu kompleks lain seperti saiz pasaran.

Beliau mencadangkan perdebatan terbuka diadakan untuk semua fakta dibentangkan bagi menilai keboleh laksanaan projek itu, sebelum kerajaan membuat keputusan muktamad.

FMT

One thought on “Hati-hati lancar projek kereta nasional ke-3, kata penganalisis ekonomi

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.