Ekonomi Malaysia dijangka perlahan – Bank Dunia

Ekonomi Malaysia dijangka berkembang lebih perlahan daripada yang dijangkakan berikutan pembatalan beberapa projek infrastruktur mega selain didorong oleh prospek perdagangan dan eksport yang lembap.

Ketua Ekonomi Bank Dunia bagi Asia Timur dan Rantau Pasifik, Sudhir Shetty, berkata Malaysia akan berdepan pertumbuhan lebih perlahan dalam tempoh tiga tahun akan datang disebabkan pengurangan eksport dan pelaburan awam sehingga 2020.

“Malaysia antara satu daripada ekonomi rantau ini yang berkemungkinan berkembang lebih perlahan daripada yang kita jangkakan enam bulan lalu.

“Antaranya didorong oleh pembatalan dua projek infrastruktur mega, jumlah perdagangan semakin berkurang dan pengeluaran menyusut yang menjejaskan prospek ekonomi Malaysia pada tahun ini,” katanya pada sesi sidang video mengenai perkembangan ekonomi Asia Timur dan Rantau Pasifik, hari ini.

Shetty berkata, Malaysia perlu mengambil peluang daripada persekitaran suram ekonomi global sekarang untuk menstabilkan keadaan fiskal negara.

“Ini adalah masa bagi Malaysia untuk menggabungkan fiskal ekonomi mereka. Dalam konteks semasa di mana ekonomi global berkembang dengan lebih cepat dan berisiko, ini bukan masanya untuk menyokong pertumbuhan jangka pendek sebaliknya mengukuhkan bahagian fiskal ekonomi.

“Ia penting untuk memastikan penampan fizikal dibina jika berlaku kejutan lebih besar daripada yang dijangkakan,” katanya.

Pada sesi berkenaan, Bank Dunia juga menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang pada 4.7 peratus pada 2019 dan 4.6 peratus pada 2020, berbanding prestasi luar biasa 5.9 peratus yang dicatatkan pada 2017.

Malaysia juga dijangka mencapai status negara berpendapatan tinggi antara 2020 dan 2024.

Bagi 2018, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka menyederhana dalam tempoh terdekat ini, berkembang 4.9 peratus, disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam penggunaan swasta.

Bank Dunia berkata, sebagai sebuah ekonomi yang sangat terbuka, Malaysia akan terus berdepan risiko berikutan ketidakpastian dalam persekitaran luaran.

Dalam laporan ‘Navigating Uncertainty, East Asia and Pacific Economic Update’ edisi Oktober 2018, Bank Dunia juga berkata, keadaan pasaran kewangan tidak menentu, yang berpunca sama ada daripada jangkaan peralihan dasar monetari di ekonomi maju atau krisis di rantau lain, boleh menular ke ekonomi sedang pesat membangun, termasuk Malaysia, menerusi aliran keluar modal dan tekanan terhadap kadar pertukaran.

“Risiko utama lain berkait dengan peningkatan kecenderungan melindungi perdagangan di beberapa ekonomi utama yang boleh membawa kesan negatif ke atas Malaysia, berikutan tahap integrasi tingginya dengan pasaran global dan kebergantungannya terhadap rantaian nilai global sebagai sumber pertumbuhan,” katanya.

Selain itu katanya, penilaian semula beberapa projek infrastruktur mega turut meningkatkan ketidakpastian mengenai prospek pelaburan seterusnya menjejaskan pertumbuhan.

BH

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.