Anwar mungkin lupa janji tidak guna aset dan jentera kerajaan

Pas mengingatkan calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang hasratnya untuk melihat Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson bebas daripada penggunaan aset dan jentera kerajaan.

Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan mendakwa, Anwar mungkin lupa dengan kata-katanya dalam sidang akhbar pada 21 September lalu.

Jelas beliau, antara ungkapan yang disebut Anwar adalah ‘saya mahu PRK Port Dickson bebas daripada penggunaan aset dan jentera kerajaan’ serta ‘pihak yang berkempen dan hadir untuk memberi sokongan kepada saya, perlu hadir sebagai pemimpin parti dan bukannya wakil kerajaan’.

“Kelihatan calon tersebut bukan sahaja hadir dalam majlis penganugerahan pingat kepada pesara tentera yang berlangsung di Muzium Tentera Darat, malah menaiki kenderaan rasmi menteri (WC1960E) semalam di Port Dickson.

“Jadi, apakah semua ini? Sandiwara politik? Tidakkah ini secara jelas membohongi dan mengkhianati apa yang telah diucapkan oleh beliau sendiri?” katanya melalui satu kenyataan dalam laman Facebook beliau, hari ini.

Nasrudin menambah, tindakan Anwar itu boleh menyebabkan beliau tidak dianggap sebagai calon yang layak diangkat sebagai Perdana Menteri.

Beliau turut membangkitkan tentang pengumuman Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu baru-baru ini berhubung peruntukan segera berjumlah RM500,000 untuk membaiki kuarters tentera di Port Dickson.

“Kemudian, semalam Menteri Pertahanan juga telah menghadiri dan menyampaikan penganugerahan pingat kepada pesara tentera di Port Dickson,” jelasnya.

Berdasarkan perkembangan itu, Nasrudin menganggap PH adalah bukan sebuah parti politik yang komited dengan agenda reformasi sebaliknya mengamalkan politik matlamat menghalalkan cara demi mencapai cita-cita mereka. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.