4,000 projek Mesra Rakyat dimansuhkan?

Pas mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjelaskan mengenai dakwaan lebih 4,000 projek Mesra Rakyat yang diluluskan bagi 2018 telah dimansuhkan.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, berdasarkan sumber maklumat yang diperoleh sehingga Julai 2018, 4,000 projek Mesra Rakyat tersebut merangkumi setiap Parlimen di seluruh negara dengan anggaran keseluruhan nilai projek tersebut berjumlah lebih RM100 juta.

“Contohnya, di Negeri Sembilan sahaja projek terlibat berjumlah lebih 500 buah, Johor pula mencatatkan paling ba­nyak iaitu lebih 800 buah projek manakala di Kedah pula seba­nyak lebih 500 buah projek.

“Kebanyakan projek ber­kenaan adalah di luar kawasan bandar dan ia adalah projek keperluan masyarakat setempat seperti masjid, dewan dan jalan raya,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan portal Harakahdaily hari ini.

Selain itu kata Nasrudin, tuntutan pembayaran projek berjumlah kira-kira RM8 juta masih belum dilunaskan disebabkan pemberhentian dana daripada pihak kerajaan.

“Sekiranya jumlah ini tidak dibayar kepada pihak kontraktor bumiputera ini, maka lebih kurang 400 syarikat kontraktor akan muflis.

“Bukan sekadar itu, kehidupan harian mereka turut terjejas. Pas menuntut pihak kerajaan khususnya Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Kementerian Kewa­ngan dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) untuk tampil memberi penjelasan berhubung isu ini,” katanya.

Utusan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker