Najib sindir Maszlee mengenai pendidikan hampir percuma
Datuk Seri Najib Tun Razak menyindir Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang cuba mengambil kredit kerajaan terdahulu yang memperkenalkan pendidikan di negara ini hampir percuma.
Beliau berkata, kerajaan terdahulu telah pun melaksanakan pendidikan percuma untuk peringkat rendah dan menengah.
Malah, jelasnya, pengajian tinggi juga hampir percuma apabila pelajar hanya perlu membayar 10 peratus daripada kos operasi.
“Dahulu kata kerajaan Barisan Nasional (BN) zalim terhadap anak muda. Pendidikan dilaungkan sepatutnya percuma dan PTPTN patut dihapuskan. Malah, turut diumumkan sebagai janji mereka untuk mengatasi inisiatif Transformasi Nasional 2050 (TN50) kerajaan BN yang begitu meluas dan terancang.
“Malangnya, apabila ditanya mengenai janji mereka di Dewan Rakyat petang ini, Menteri Pendidikan menjawab tiada rancangan untuk pendidikan percuma kerana pendidikan sudah hampir percuma,” katanya dalam status Facebook miliknya hari ini.
Najib berkata, pendidikan hampir percuma itu juga yang dilakukan kerajaan BN selama ini.
Katanya, kerajaan BN juga yang memansuhkan semua bentuk bayaran dan yuran bermula tahun 2012.
“Bukankah itu yang kerajaan BN dahulu melakukan juga? Apa bezanya? Pendidikan rendah dan menengah juga percuma sekarang kerana kerajaan BN yang mansuhkan semua bentuk bayaran dan yuran bermula tahun 2012,” katanya. – UTUSAN ONLINE