Ambrin dan Tan Seng Giaw nafi laporan audit 1MDB dipinda atau diubah.

Ambrin nafi ubah laporan asal 1MDB

Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang menafikan dakwaan terhadapnya yang beliau mengubah laporan asal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Tidak ada pengubahan atau campur tangan… Saya tidak tahu apa yang dia (Wong Kah Woh) maksudkan,” katanya ketika ditanya mengenai dakwaan bahawa laporan 1MDB diceroboh.

Ambrin bagaimanapun mengakui laporan 1MDB berkenaan adalah miliknya dan mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap laporan itu.



beliau berkata demikian selepas Sidang Anti Rasuah yang dianjurkan oleh Transparency International Malaysia (TI-M) dan Aram Global Sdn Bhd di Hotel Istana, di sini, hari ini.

Semalam, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh, mendedahkan bahawa laporan asal Ketua Audit Negara berhubung 1MDB dipinda atas arahan individu tertentu.

Pindaan ke atas laporan itu mengakibatkan usaha untuk mengesan salah laku dalam syarikat pelaburan strategik negara itu gagal.

Kah Woh (PH-DAP Ipoh Timur) mendakwa, salah laku itu hanya dikesan selepas berlaku perubahan pentadbiran negara pada 9 Mei lalu.



Menurut Ambrin lagi, beliau sepatutnya hadir di hadapan anggota PAC, tetapi pendengaran itu ditangguh.

“Itulah sebabnya saya harus diberi peluang untuk memberi penjelasan tetapi pendengaran ditangguh. Jadi apa yang ada untuk komen… saya tidak dapat mengulas apa-apa,” katanya.

Ambrin ketika ditanya mengapa PAC menangguhkan memanggilnya, beliau berkata tidak dimaklumkan sebarang sebab walhal beliau bersedia untuk menghadiri prosiding berkenaan.

“Tiada sebab yang diberikan, mungkin ia mempunyai kaitan dengan proses mahkamah yang sedang berlangsung, saya rasa perlu tunggu sehingga selesai, ” katanya.



Kemuka bukti laporan asal 1MDB dipinda – Seng Giaw

Bekas Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Dr Tan Seng Giaw, meminta bukti dikemukakan berhubung dakwaan laporan asal Ketua Audit Negara berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dipinda.

Tegas beliau, sebarang tuduhan perlu disertakan dengan bukti kukuh dan dakwaan pindaan atas arahan individu tertentu sehingga gagal mengesan salah laku syarikat pelaburan negara itu membabitkan kepentingan rakyat dan negara.

“Membuat tuduhan memang senang tetapi untuk mengemukakan bukti kukuh itu bukan perkara yang mudah.



“Sekarang terlalu banyak dakwaan berasaskan politik dan sukar untuk rakyat hendak membezakan mana satu yang benar, mana satu yang tidak.

“Jadi, kita tidak boleh menuduh seseorang itu bersalah sehingga ada bukti kukuh yang dikemukakan di mahkamah,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Jelas veteran DAP itu lagi, jika ada pihak yang mengaitkan isu berkenaan dengan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, mereka juga perlu mengemukakan bukti kukuh kerana tuduhan sebegitu jelas mencemarkan nama baik beliau.

“Isu yang berkaitan 1MDB sememangnya menjadi tumpuan rakyat dan tuduhan tanpa bukti pastinya akan menyemarakkan lagi api kemarahan mereka (rakyat).



“Ia perlu disiasat dengan teliti dan jika benar wujudnya kesalahan serta mempunyai bukti, jangan teragak-agak untuk mengheret pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan,” katanya.

Seng Giaw mengulas dakwaan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh di Dewan Rakyat, semalam mengenai laporan asal Ketua Audit Negara berhubung 1MDB yang dikatakan dipinda atas arahan individu tertentu sehingga gagal mengesan salah laku dalam syarikat pelaburan strategik negara itu.

Kah Woh mendakwa, salah laku itu hanya dikesan selepas berlaku perubahan pentadbiran negara pada 9 Mei lalu.

Kah Woh yang yang juga Timbalan Pengerusi PAC berkata, isu 1MDB amat serius, namun PAC ketika itu gagal membuka semula siasatan walaupun Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat mengambil tindakan sebaliknya.



“Ketika itu bukan saja PAC gagal buka semula siasatan, malah laporan Ketua Audit Negara diklasifikasikan mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA),” katanya.

Pengerusi PAC, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee pula dalam kenyataannya berkata, PAC menangguhkan prosiding siasatan 1MDB membabitkan Ambrin ke satu tarikh dan masa yang akan ditetapkan kemudian.

Ronald sebelum ini dilapor berkata, Ambrin yang dinamakan sebagai salah seorang saksi bagi siasatan semula 1MDB, adalah Ketua Audit Negara ketika Jabatan Audit Negara melaksanakan pengauditan syarikat pelaburan itu.

Menurut Ronald, Ambrin yang sepatutnya memberi keterangan pada prosiding pertama siasatan semula 1MDB itu semalam, sudah membentangkan laporannya sebelum ini iaitu pada Mac 2016 kepada PAC, ketika persidangan Parlimen penggal ke-13.

Sementara itu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad, enggan memberi penjelasan lanjut berhubung isu pindaan laporan asal berkenaan.

“Saya minta maaf banyak-banyak, buat masa ini saya tidak dapat memberi komen lanjut,” katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker