Najib simpati dengan nasib peneroka yang semakin tertekan.

Najib sekolahkan menteri-menteri PH pula

“RM900 sebulan, wahai Menteri-menteri PH,” kata Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahukan menteri-menteri Pakatan Harapan (PH) memahami apa yang dirasai oleh rakyat.

“Selesa dengan kerusi empuk di Putrajaya dan gembira terbang bersama pegawai ke hulu ke hilir atas perbelanjaan rakyat?

“Kita mahu Kerajaan dengar, faham dan merasai denyut nadi rakyat, seperti golongan pekebun kecil,” katanya dalam hantaran Facebook peribadinya.



Apa yang berlaku kini, kata Najib, rakyat semakin hari semakin tertekan.

Sejak PRU tempoh hari, katanya, harga komoditi jatuh mendadak. Misalnya harga sawit, hari ini pekebun kecil ada yang hanya mendapat serendah RM300-RM400 setiap tan.

Dahulu, katanya, kerajaan Barisan Nasional sentiasa berusaha membantu para pekebun kecil.

“Misalnya dalam kunjungan ke luar negara, saya telah meyakinkan negara besar dan rakan pelaburan kita seperti China dan India untuk terus membeli minyak sawit daripada Malaysia.



“Malah di dalam Bajet tahunan, kita umumkan juga bantuan khusus buat golongan pekebun kecil dan peneroka supaya dapat meringankan beban mereka yang terkesan akibat perubahan harga komoditi.

“Saya bimbang dengan trend Kerajaan hari ini yang bersifat antagonistik terhadap rakan-rakan pelaburan kita yang secara tidak langsung mengganggu-gugat kebajikan pekebun kecil.

“Saya bimbang dengan Menteri Kewangan Terbaik Dunia yang telah mula mencari alasan dan mengeluarkan hint meminta rakyat berkorban kononnya Kerajaan tak ada wang, bahawa banyak bantuan akan dipotong,” katanya. – UTUSAN ONLINE


‘RM900 hendak makan apa?’

Pendapatan berkurangan selepas kejatuhan harga sawit – Peneroka



Peneroka Felda kini ber­hadapan kegelisahan dan keresahan selepas harga komoditi sawit mencatatkan penurunan hari demi hari, sekali gus menjejaskan pendapatan mereka sehingga hanya sekitar RM900 sebulan.

Seorang peneroka Felda Wilayah Mempaga, Mansor Hashim berkata, anggaran pendapatan tersebut diperoleh selepas mengambil kira harga sawit ketika ini iaitu purata kira-kira RM400 bagi satu tan metrik.

“Dalam sebulan setiap peneroka dianggarkan dapat menuai kira-kira empat tan hasil kelapa sawit. Selepas ditolak pula dengan pelbagai kos operasi lain seperti baja, racun dan upah memotong buah sawit, peneroka hanya mendapat purata pendapatan bersih sekitar RM900 sahaja.

“Dengan RM900 hendak makan apa? Itu belum lagi pelbagai bil yang mesti diselesaikan. Peneroka di Felda kini betul-betul berada dalam keadaan resah, bagi saya senang sahaja, kerajaan mesti pastikan harga sawit meningkat, selesai semua masalah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.



Menurut Mansor, menambahkan lagi tekanan, pelbagai bantuan dan insentif bagi me­ngurangkan kesan kejatuhan harga sawit tidak lagi diterima oleh peneroka.

“Ketika ini peneroka seperti tidak mempunyai tempat untuk mengadu sedangkan harga sawit terus jatuh. Kebanyakan peneroka merupakan golongan usia emas yang tidak peduli siapa memerintah, cuma mereka mahu harga sawit dinaikkan, itulah sumber pendapatan mereka.

“Saya harap kerajaan Pakatan Harapan (PH) lebih prihatin terhadap nasib golongan peneroka termasuklah dengan mengembalikan pelbagai bantuan dan insentif yang diterima sebelum ini, sekurang-kurangnya dapat meringankan beban dihadapi,” katanya.

Menurut Ketua Peneroka Felda Wilayah Jengka, Sulaiman Bakar pula, selepas kejatuhan harga sawit pendapatan purata diperoleh peneroka setiap bulan adalah di bawah RM1,000.



“Memang tidak cukup, macam saya terpaksa mengharapkan wang simpanan, mujur ada berjimat cermat dahulu. Kalau harap pendapatan sekarang memang tidak cukup, bayar bil elektrik, air dan pinjaman lain, harapkan anak-anak juga untuk membantu serba sedikit.

“Peneroka ketika ini memang resah, tapi tidak boleh hendak buat apa, hendak marah kepada siapa? Jika dahulu bila kea­daan harga sawit jatuh begini ada sedikit bantuan daripada kerajaan, hutang-hutang peneroka se­perti perumahan dan pendidikan dikecualikan dan tidak dipotong, sekarang ni potong habis,” katanya.

Sementara itu, tambah Sulaiman, sebagai peneroka, beliau tidak begitu menaruh harapan besar kepada kerajaan menerusi pembentangan Bajet 2019 minggu depan, cuma berharap langkah sepatutnya dapat diambil segera bagi menangani kejatuhan harga sawit dan ke­sannya kepada peneroka.

“Saya tidaklah menaruh harapan besar, tapi kalau boleh kerajaan kena tengok dan jenguk Felda, beri bantuan kepada peneroka, jangan diam sahaja,” katanya.



Utusan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker