MIC sedia kerjasama dengan Pas

MIC bersedia untuk bekerjasama dengan Pas bagi membentuk satu gagasan baharu dalam kalangan parti pembangkang di negara ini.

Sehubungan itu, jelas Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran, pihaknya memberi mandat kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk menentukan hala tuju baharu BN termasuk kerjasama dengan Pas.

“Saya telah diberitahu oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa walaupun agama Persekutuan adalah agama Islam, agama lain diberi jaminan oleh parti itu, mereka tidak akan menggugat agama lain. Tiada sebuah kuil pun di Kelantan yg dirobohkan oleh kerajaan Pas.

“Kalau Lim Kit Siang sekeluarga boleh bekerjasama dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad lebih baik kita bekerjasama dengan Pas. Hala tuju Parti Amanah Negara (Amanah) tiada beza dengan Pas, kalau mereka boleh kerjasama dengan Amanah kenapa kita tidak dengan Pas,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung MIC Ke-72 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ahmad Zahid; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz; Presiden MyPPP, Datuk Seri Maglin D’Cruz; Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker