Maszlee diminta beri penjelasan isu pegawai ke luar negara

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, diminta memberi penjelasan berhubung tindakan Penasihat Khasnya yang bertindak di luar bidang kuasa dengan membawa rombongan rasmi ke luar negara.

Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata tindakan terbabit dikhuatiri mampu menjejaskan hubungan antara dua negara apabila Malaysia hanya menghantar seorang yang bertaraf penasihat untuk bertemu menteri atau pegawai tertinggi kementerian luar negara berkenaan.

Katanya keadaan itu juga seolah-olah mengambil alih tugas sedangkan ia adalah tugas menteri dan timbalan menteri.

“Apabila seorang menteri hendak ke luar negeri untuk lawatan kerja secara rasmi, satu kertas Kabinet perlu dibentangkan di mesyuarat mingguan Kabinet untuk kelulusan. Ini juga bertujuan bagi mendapat kelulusan bajet.

“Segala-galanya diatur dengan teliti supaya hubungan dua hala dengan negara terbabit dijaga dengan baik. Manakala bajet juga dijaga bagi tiada pembaziran.

“Sebelum ini, ketika saya menjawat jawatan Menteri Pendidikan, hanya menteri, timbalan menteri atau Ketua Pengarah Pelajaran saja yang melakukan lawatan kerja ke luar negara untuk membuat kajian sebarang sistem persekolahan di negara berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mahdzir juga hairan apabila ada seorang penasihat kepada menteri membuat lawatan ke luar negara untuk membuat kajian memahami sistem persekolahan di United Kingdom.

“Dari segi bajet juga boleh dipersoalkan, pihak mana yang meluluskan bajet untuk lawatan kerja ke luar negara ini.

“Ketika Menteri Ekonomi menyarankan kerajaan perlu berjimat cermat, tiba-tiba ada penasihat menteri pula melakukan lawatan.

“Justeru Menteri Pendidikan perlu memberikan penjelasan yang telus,” katanya.

Sebelum ini, tular Penasihat Khas Menteri Pendidikan, Wan Saiful Wan Jan, membawa satu delegasi ke London, United Kingdom bagi lawatan kerja.

Beliau yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), memuat naik beberapa keping gambar di akaun Twitter bagi lawatan terbabit.

BH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker