Adakah sistem kehakiman Malaysia akan rosak di bawah Mahathir ?

PARLIMEN MEMILIH CALON-CALON HAKIM:
ULASAN Oleh Tun Abdul Hamid Mohamad

Saya merujuk kepada ucapan YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada pegawai-pegawai di Jabatan Perdana Menteri yang dilaporkan oleh media internet pada 10 Oktober 2018. Oleh sebab laporan-laporan itu berbeza, melalui seorang sahabat, saya memperolehi teks verbatim dalam Bahasa Melayu.

Saya percaya ucapan itu tidak ditulis terlebihh dahulu, sebab itu ia tidak tersusun dengan rapi. Saya akan perturunkan bahagian yang saya hendak ulas dan cuba memahami apa yang sebenarnya dimaksudkan.

Antara lain, dalam ucapan itu, beliau berkata:
“Pihak hakim tidak perlu takut apabila menjalankan tugas secara adil. Yang diutamakan keadilan bukan kerana takut dan tidak naik pangkat oleh pihak tertentu. SEBAB ITU sekarang ini pemilihan hakim akan diberi kepada parlimen. Wakil rakyat dipilih oleh rakyat semua. Mereka yang akan menentukan baik atau tidaknya calon dikemukakan.

Kalau dahulu tidak ada pemeriksaan oleh Parliamentary Committee, sekarang ini kita perkenalkan Parliamentary Committee akan tapis segala calon untuk jawatan tertentu. Selepas itu, baru boleh dikemukakan nama kepada Agong. Itulah cara kita.”

Apa yang saya fahami ialah, untuk membolehkan hakim-hakim menjalankan tugas mereka dengan adil, tanpa takut dan tidak perlu takut (tidak akan naik pangkat) kepada pihat tertentu, pemilihan hakim akan dibuat oleh Parlimen. Parlimen akan menentukan kesesuaian calon-calon itu.

Untuk tujuan itu Jawatankuasa Parliemen ditubuhkan untuk menapis calon-calon itu sebelum nama-nama yang diperakui dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik mereka.

Saya percaya “pihak tertentu” yang dimaksudkan itu adalah Perdana Menteri, sebab Perdana Menterilah yang menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membuat pelantikan hakim.

Secara ringkas Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957, memperuntukkan:
“….hakim-hakim… hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

(2) Sebelum memberikan nasihatnya di bawah Fasal (1) tentang pelantikan seseorang hakim,…Perdana Menteri hendaklah berunding dengan Ketua Hakim Negara.”

Peruntukan itu kekal sehingga sekarang. Cuma dalam tahun 2009, Suruhanjaya Kehakiman telah ditubuh untuk mencadangkan nama-nama calon hakim itu kepada Perdana Menteri.

Selama 51 tahun, sehingga penubuhan suruhanjaya itu, Malaysia mempunyai lima orang Perdana Menteri iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussain Onn, Tun Dr, Mahathir dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Perbincangan mengenai hubungan Eksekutif dan Kehakiman boleh dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama adalah semasa Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussain Onn menjadi Perdana Menteri. Bahagin kedua adalah semasa Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Kebetulan ketiga-tiga Perdana Menteri pertama itu adalah peguam yang sama-sama belajar undang-undang dengan Ketua Hakim Negara dan hakim-hakim di England, malah ada pada masa yang sama dan mengenali antara satu sama lain sebagai pelajar.

Perdana-Perdana Menteri itu juga mempunyai latar belakang yang hampir serupa. Ini mempengaruhi tindakan atau reaksi mereka dalam sesuatu perkara.
Sepanjang tempoh itu, hubungan Eksekutif dan Kehakiman adalah hormat menghormati. Memanglah bilangan hakim pun sedikit. Dalam tahun 1970an, bilangan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hanya sebanyak empat orang berbanding dengan 29 orang hari ini. Jika berlaku keperluan, Ketua Hakim Negara akan mengemukakan nama calon hakim kepada Perdana Menteri dan dia dilantik.

Antara yang dilantik pada masa itu, selain daripada prgawai-pegawai Perkhidmatan Kehakiman (seperti Dato’ Wan Yahya Pawanteh, Tan Sri Gan Chit Tuan dan Encik Abdul Razak Abu Samah) dan peguam (seperti Tan Sri Eusoffe Abdoolcader, Sri Chang Min Tat dan Dato’ Fred Arulanandum), terdapat juga bekas ahli politik BN (seperti Tun Mohd Zahir Ismail dan Tan Sri Wan Adnan Ismail) dan pembangkang (seperti Datuk Seri George Seah (SUPP – jika tidak silap saya) dan Dato’ Mustapha Husain (Gerakan dan kemudian KITA yang mengikutnya, tidak berapa lama kemudian, “KITA tinggal SAYA” !).

(Cerita beliau ditawarkan jawatan Pesuruhjaya Kehakiman sangat anih. Mengikutnya, suatu petang, selapas kerjaya politiknya tamat, beliau berjogging di Gurney Drive, Pulau Pinang. Sebuah kereka yang membawa Y.M. Raja Azlan Shah (yang ke Pulau Pinang untuk persidangan Mahkamah Persekutuan) berhenti di sisinya. Y.M. Raja Azlan Shah memanggilnya dan bertanya, “Do you want to be a Judicial Commissioner?” “Sure, Engku”, jawabnya. Maka, jadilah beliau Pesuruhjaya Kehakiman dan, selapas itu, beliau dilantik menjadi Hakim Mahkamah Tinggi.)

Saya mesti sebut bahawa sistem tersebut pun ada kelemahannya. Saya biasa melihat seorang peguam datang berjumpa Tun Suffian beberapa kali. Lepas itu beliau dilantik menjadi Pesuruhjaya Kehakiman. Tidak lama kemudian, beliau dihadapkan ke mahkamah kerana kesalahan jenayah pecah amanah. Nyata, beliau berharap beliau
akan selamat apabila dilantik menjadi Pesuruhjaya Kehakiman dan beliau tidak jujur kepada Tun Suffian yang mempercayainya. Beliau didapati bersalah dan dihukum penjara.

Beberapa tahun selas tahun 2000, terdapat sekumpulan calon-calon daripada sebuah negeri yang Sultannya rapat dengan Ketua Hakim Negera yang dilantik menjadi Pesuruhjaya Kehakiman walau penguasaan Bahasa Inggeris mereka sangat lemah. Ini menunjukkan kelemahan meletakkan kuasa mencadangkan nama-nama calon-calon hakim itu kepada Ketua Hakim Negara semata-mata.

Sepanjang tempoh tiga orang Perdana Menteri yang pertama itu, setakat yang diketahui, mereka tidak pernah campur tangan dalam kenaikan pangkat hakim-hakim.

Daripada cadangan yang dibuat oleh Tun Dr. Mahathir itu, kita dapat lihat apa yang tersirat. Oleh sebab pemilihan dibuat oleh Jawatankuasa Parlimen, maka hakim-hakim tidak perlu takut kepada Perdana Menteri lagi.

Sebenarnya, jika ada Perdana Menteri yang paling ditakuti oleh hakim-hakim (yang penakut) beliaulah orangnya. Seorang hakim kanan, yang kebetulan baru pulang daripada menemui Tun Dr. Mahathir semasa saya masuk ke kamarnya menceritakan bahawa beliau baru pulang daripada menemui Perdana Menteri; beliau gementar semasa hendak pergi dan membawa surah Ya-sin dalan poket kemejanya. Beliau terus mengeluarkannya menunjukkannya kepada saya.

Semasa Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri juga, Tan Sri Mohd Azmi Kamaruddin dilangkau dalam kenaikan pangkat dari Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Persekutuan. Dosanya hanyalah kerana Dato’ Harun Idris adalah bapa saudaranya dan Dato’ Haji Suhaimi Kamaruddin adiknya.

Demikian juga dengan Tan Sri Harun Hashim. Dosanya adalah, sebagai hakim di Bahagian Rayuan dan Tugas-tugas Khas, beliau kerap membuat perintah terhadap menteri, kerajaan dan tribunal kerajaan.

Sebelum itu, beliau telah diturunkan kedudukannya kepada Presiden, Mahkamah Perusahan. Ertinya, perintah yang dibuatnya boleh dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi. Saya percaya Tan Sri Harun Hashim tidak menyedari motif beliau ditawarkan jawatan itu, dengan gaji dan perks seorang hakim. Beliau pecaya bahawa seorang hakim diperlukan untuk mengetuai Mahkamah Perusahaan. Memanglah mahkamah itu menjadi terkenal semasa beliau menjadi Presidennya sama seperi Badan Penceah Rasuah menjadi terkenal semasa beliau menjadi Ketua Pengarahnya, sebelum beliau dilantik menjadi seorang hakim. Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman berkata kepada saya, “I am making him a magistrate”.

Tun Dr. Mahathir juga yang menasihatkan Yang di-pertuan Agong melantik Dato’ Seri Gopal Sri Ram terus menjadi Hakim Mahkamah Rayuan sedangkan pegawai-pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan yang lebih lama perkhidmat, pada hari yang sama, hanya dilantik menjadi Pesuruhjaya Kehakiman sebelum dilantik menjadi Hakim Mahkamah Tinggi dan selepas sepuluh tahun baru dilantik menjadi Hakim Mahkamah Rayuan. Apakah keistimewaan beliau? Beliau adalah peguam Dr. Mahathir dalam kes berkaitan pemilihannya sebagai Presiden UMNO di mana beliau mengalahkan Tengku Rzaleigh Hamzah dengan hanya 20 undi.

Mungkin semua inilah yang menghantui Tun Dr. Mahathir untuk menyerah peranan memilih hakim kepada Parliman supaya Perdana Menteri tidak boleh dipersalahkan? Kiata perhatikan beliau membuat U-turn dan keputusan-keputusan yang mengejutkan dalam banyak perkara selepas menjadi Perdana Menteri Pakatan Harapan.

Daripada apa yang dilakukan oleh Tun Dr. Mahathir itu, ada hakim-hakim yang untung seperti Tun Eusof Chin, Tan Sri Lamin dan Tan Sri Anuar Zainal Abidin. Tan Sri Anuar yang pernah dilangkau kerana persepsi terhadap integritinya kurang baik, terkejut besar apabila ditawarkan jawatan Hakim Besar (Malaya).

Kita boleh membaca percaturan Tun Dr. Mahathir: beliau menjangka Tan Sri Anuar akan merasa terhutang budi kepadanya. Tetapi, Tan Sri Anuar adalah pemain catur sebenar. Beliau tahu beliau sudah berada di kemuncak kerjayanya. Baliau tidak ada apa-apa lagi untuk rugi. Maka, beliau memberi penghakiman-penghakiman menentang kerajaan yang popular dengan Majlis Peguam, sekaligus menjadikannya popular.
Berikutnya kita bincangkan kesesuaian cadangan ini. Kita bincang mengenai pelantikan pertama terlebih dahulu, bukan kenaikan pangkat.

Saya berpendapat adalah tidak sesuai bagi ahli-ahli Parlimen memilih calon-calon hakim. Pertama, ia terang-terang melanggar doktrin pembahagian kuasa (separation of powers). Bagaimana jika sebelum seseorang dibenarkan menjadi calon ahli parlimen, Menteri atau Perdana Menteri, dia dikehendaki ditapis terlebih dahulu oleh para hakim?

Kedua, tidak ada kelayakan akademik diperlukan untuk menjadi ahli Parlimen. Orang yang tidak tahu membaca pun layak menjadi calon. Bagaimana mereka akan mengadili calon-calon hakim dari segi pengetahuan mereka mengenai undang-undang.

Dikatakan, satu Jawatankuasa Parlimen akan ditubuhkan untuk tujuan itu dan tentulah ahli-ahli Parlimen yang difikirkan layak akan dilantik menjadi ahli-ahlinya. Namun demikian, katakanlah calon hakim itu seorang pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, bagaimana mereka akan tahu prestasinya. Jika beliau seorang Timbalan Pendakwa Raya, mungkin mereka terbaca namanya dalam akhbar. Itu tidak cukup untuk mengetahui kedalaman ilmu undang-undangnya dan prestasinya. Jika beliau seorang yang ditempatkan di bahagian penggubal undang-undang, bahagian nasihat, bahagian undang-undang dan perdagangan antarabangsa, sebagai misalan, namanya mungkin tidak pernah didengar.

Jika calon hakim itu berkhidmat di mahkamah, jika beliau seorang Hakim Mahkamah Sesyen, mungkin namanya pernah tersiar dalam akhbar. Itu tidak cukup untuk menentukan kelayakannya.

Jika calon hakim itu seorang peguam, jika dia seorang peguam kes-kes jenayah, besar kemungkinan namanya diketahui umum. Itu juga tidak cukup untuk menentukan kelayakannya. Tetapi jika beliau bukan seorang peguam litigasi, namanya pun tidak pernah didengari.

Akibatnya, Ahli-ahli Parlimen itu tidak akan dapat menilai ilmu undang-undang calon- calon itu. Maka, mereka mungkin mengikut contoh ahli-ahli Senate Judiciary Committee, Amerika Syarikat yang menyoal berkenaan pendirian calon-calon itu mengenai perkahwinan sejenis, pemilikan sentaja, pengguguran (abortion) dan sebagainya.

Di Malaysia, kita dapat bayangkan, ahli-ahli Parlimen DAP akan bertanya mengenai pendiriannya mengenai Syariah, LBGT, Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) dan sebagainya manakala ahli-ahli Parlimen PAS akan bertanya sama ada calon itu mengamalkan rukun-rukun Islam, minum arak, ada melakukan dosa-dosa besar, pendiriannya mengenai pelaksanaan hudud, LBGT, perkahwinan sejenis dan sebagainya.
Sebenarnya, soalan-soalan itu tidak kena pada tempatnya. Mereka adalah calon hakim. Tugas hakim adalah, mentafsir dan melaksanakan undang-undang. Yang membuat undang-undang adalah Parlimen. Jika Parlimen membuat sesuatu undang-undang, suka atau tidak, hakim perlu memakainya (apply) dalam memutuskan sesuatu kes. Jika Parlimen membuat undang-undang dengan baik, peluang untuk mentafsir sangat terhad.

Dalam mentarfsir undang-undang pun ada peraturannya, bukan boleh dibuat sesuka hati. Jika Mahkamah Persekutuan mentafsir sesuatu undang-undang hingga membawa makna yang bukan dimaksudkan oleh Parlimen, Parlimen boleh meminda undang- undang itu untuk mengembalikan makna yang dimaksudkan olehnya. Itulah cara pembahagian kuasa sepatutnya berjalan, bukan dengan ahli Parlimen cuba mengawal tafsirannya oleh hakim-hakim.

Berkenaan kelayakan syar’ie untuk menjadi hakim, kita bukan memilih calon Qadi, tetapi calon hakim mahkamah sivil. Jika seorang Islam yang melakukan dosa tidak layak, seorang bukan Islam yang tidak beriman dengan Allah s.w.t. tentu lebih tidak layak.

Akhirnya ahli-ahli Parlimen itu mengundi mengikut parti, bangsa, agama dan daerah.
Ketiga, jika ahli-ahli Parlimen memilih hakim, calon-calon hakim, malah hakim-hakim pun akan mula menunjukkan bahawa mereka adalah penyokong parti yang memerintah untuk mendapat favour.

Saya juga khuatir ada anggota Jawatankuasa Parlimen itu yang akan besar kepala kerana kuasa yang diberikan kepadanya.

Selain dari itu, akan timbul satu dilemma. Untuk melantik ahli-ahli yang sesuai ke jawatankuasa itu, mungkin Parlimen akan melantik ahli-ahli yang berlatarbelakangkan undang-undang. Jika mereka pengamal undang mereka atau peguam-peguam daripada firma mereka akan mempunyai kes di hadapan hakim-hahim itu.
Ini paling kurang akan menimbulkan persepsi berat sebelah kepada pihak lawan. Saya tidak hairan jika ada ahli-ahli seperti itu yang akan menjual kedudukannya untuk melariskan firmanya. Bagaimana jika ahli-ahli tersebut sendiri dihadapkan ke mahkamah atau mempunyai kes di mahkamah?

Kita bincang pula mengenai tapisan untuk kenaikan pangkat. Apa yang dimaksudkan di sini adalah pelantikan yang lebih tinggi daripada yang disandang, misalnya daripada Pesuruhjaya Kehakiman kepada Hakim Mahkamah Tinggi, daripada Hakim Mahkamah Tinggi kepada Hakim Mahkamah Rayuan hinggalah kepada Ketua Hakim Negara.

Bagi kenaikan pangkat hakim-hakim juga, ahli-ahli Parlimen tidak mempunyai maklumat yang cukup untuk mengadilkan hakim-hakim. Selain daripada apa yang disebut sebelum ini, berapa orang di antara mereka yang membaca penghakiman penuh hakim-hakim itu?

Akhirnya masing-masing mengundi mengikut parti, bangsa, agama dan daerah.
Perlu diingati, baik bagi tempoh Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak atau Tun Hussain Onn menjadi Perdana Menteri mahupun Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Mentari, peruntukan Perlembagaan mengenai pelantikan hakim adalah sama. Yang berbeza adalah orang yang menjadi Perdana Menteri. Maka, masalahnya bukanlah undang-undang, tetapi orang.

Semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri berlaku percubaan untuk campur tangan dalam pelantikan Ketua Hakim Negara. Ia melibatkan saya sendiri.
Oleh sebab saya (bersama-sama Tengku Baharuddin Shah) membebaskan Dato’ Seri Anwar Ibrahim daripada pertuduhan liwatnya yang pertama, kerajaan Barisan Nasional pada masaitus tidak mahu saya menjadi Ketua Hakim Negara walau pun sayalah hakim yang paling kanan pada masa itu. Ahli-ahli politik tidak memperdulikan alas an penghakiman saya. Mereka tidak pun membaca penghakiman berkenaan. Bagi mereke jika kamu bebaskan Anwar, kamu orang Anwar. Oleh itu, kamu musuh kami. Itu cara berfikir ahli-ahli politik, tidak kira dari parti mana.
Tatapi, apabila Allah Ta’ala menghendaki sesuatu berlaku, maka berlakulah ia. Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri pada masa itu mengalah dan saya dilantik menjadi Presiden Mahkamah Rayuan dan sebulan kemudian, Ketua Hakim Negara. Walau bagaimana pun, Tun Dr. Mahathir tidak puas hati. Tun Abdullah Badawi tidak sepatutnya mengalah, katanya.

Pada masa itu, didesak oleh Majlis Peguam melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga portfolio undang-undang, Dato’ Zaid Ibrahim, penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dicadangkan.

Sebagai Ketua Hakim Negara, saya menentangnya kerana komposisi majoriti ahli- ahlinya adalah peguam-peguam yang masih aktif mengamal profesyen undang-undang. Mereka hadir di hadapan hakim-hakim, mewakili anak-guam (clients) mereka dan, pada masa yang sama, merekalah yang akan menentukan sama ada hakim-hakim itu akan dinaikkan pangkat.
Sama ada ia berlaku atau tidak, ia akan mewujudkan persepsi bahawa, besar kemungkinan, hakim-hakim akan menyebelahinya. Mungkin juga ada yang akan menggunakan kedudukan mereka untuk menggambarkan bahawa hakim-hakim akan menyebelahi merek kerana takut kepada mereka. Ini akan memberi kelebihan yang tidak adil kepada mereka di samping menghilangkan integrity mahkamah. “Hakim akan melutut kepada peguam”, saya menulis dalam ulasan saya kepada cadangan itu.
Dalam pertemuan saya dengan Tun Abdullah Badawi untuk membincangkan penubuhan suruhanjaya itu, saya bertanya beliau, “Why are you surrendering your prerogative to the Bar Council?” Saya tegaskan bahawa undang-undang itu telah wujud semenjak merdeka. Ia tidak memberi masalah. Masalah timbul apabila Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri dan beliau mempurak-perandakan kenaikan pangkat hakim-hakim. Kita tidak perlu mengubah sistem kerana ia bukan masalah sistem. Ia masalah manusia.

Perlembagaan memberikan Perdana Menteri hak untuk memilih, jika ia dilaksanakan dengan adil dan bijaksana, bukan hanya mengikut kepentingan politik, ia akan berjalan dengan baik seperti di era Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussai Onn.

Walau bagaimana pun, undang-undang itu dibuat juga. Suruhanjaya itu ditubuh juga tetapi keahliannya dipinda. Ahlinya tidak mempunyai peguam, tetapi, selain daripada ahli- ahli tetap, pelantikan pertama adalah terdiri daripada bekas-bekas hakim dan bekas Peguam Negara.

Jika itulah yang terkandung dalam draf yang diberikan kepada saya, saya mungkin tidak menentangnya. Tetapi, mungkinkah ia dipinda jika saya tidak menentangnya?
Saya akui, disebabkan oleh perubahan masa dan keadaan, cara pelantikan lama itu sudah kurang sesuai. Mahkamah memerlukan kepakaran dalam berbagai bidang undang-undang. Sistem lama itu tidak membolehkan calon-calon dalam berbagai bidang undang-undang dilantik menjadi hakim. Lagi pula ia kurang telus. Maka, penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman adalah perlu untuk membantu Ketua Hamim Negara dan Perdana Menteri mendapatkan calon-calon yang sesuai.

Tetapi, selepas diwujudkan suruhanjaya itu pun, campurtangan yang bermotifkan politik terus berlaku. Di akhir tempoh Dato’ Seri Najib menjadi Perdana Menteri, beliau telah menyambungkan perkhidmatan Tun Md. Raus sebagai Ketua Hakim Negara dan Tan Sri

Zulkifli Ahmad Makinuddin sebagai Presiden Mahkamah Rayuan. Saya telah menentang pelantikan itu atas alasan ia tak keperlembagaan (unconstitutional). Itu satu cubaan untuk memilih hakim yang difikirkan pro-kerajaan dalam menghadapi PRU 14. Itu satu penyalahgunaan prerogative yang diberi oleh Perlembagaan.

Selepas PRU 14 dan pertukaran kerajaan, kerajaan Pakatan Harapan pula yang melanggar amalan pembahagian kuasa. Tun Dr. Mahathir, seperti mengulangi peristiwa yang melibatkan Tun Salleh Abas, memanggil kedua-dua hakim itu dan mendesak mereka meletak jawatan. Selepas itu, Tun Daim, sebagai Pengerusi Council of Elders juga berbuat demikian.

Ini menunjukkan bahawa jika Jawatankuasa Parlimen ditubuhkan pun, ia tidak boleh menyekat perkara seperti itu berlaku. Ia terletak kepada manusia yang menjadi Perdana Menteri.

Kembali kepada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, setelah menjadi ahlinya selama dua penggal, saya berpendapat bahawa suruhanjaya itu dapat memenuhi keperluan kita dan memadai. Tiada apa perubahan yang perlu dibuat. Kita tidak perlu mengubahnya semata-mata kerana hendak menunjukkan bahawa kita berbuat sesuatu atau hendak serupa dengan negara lain.
Sistem yang diamalkan sekarang memberi peluang kepada sesiapa sahaja yang layak untuk memohon secara online. Ahli-ahli Suruhanjaya itu memang berpengalaman mengenai kerja hakim atau, sekurang-kurangnya, tahu apa yang diperlukan untuk mencari calon yang sesuai untuk dilantik atau dinaikkan pangkat. Ahli-ahli itu tidak berparti.

Jika Jawatankuasa Parlimen itu diwujudkan, adakah Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman adan dimansuhkan? Jika tidak di mana ia akan diletak: selepas calon-calon itu dikenalpasti oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman?

Saya pecaya ada orang yang tertarik dengan sistem yang diamalkan di Amerika Syarikat walau pun mereka sendiri tidak mengetahuinya secara detail dan how it works. Kita tidak patut senentiasa menyangka bahawa sistem di negara-negara lain itu semuanya baik dan sesuai dengan keadaan di negara kita.

Setakat yang saya tahu, untuk pelantikan Hakim Mahkamah Agung, seorang calon itu perlu hadir untuk diperiksa oleh Senate Judicial Committee. Selepas itu nama mereka perlu diluluskan oleh Senate. Daripada apa yang kita baca, calon-calon itu disoal mengenai pendirian mereka terhadap pengguguran, perkahwinan sejenis dan pemilikan senjata api, yang saya telah ulas di atas. Saya tidak tahu baik buruknya sistem itu.

Dalam lawatan saya ke Mahkamah Rayuan di California, kami diberi taklimat oleh seorang Hakim Mahkamah Rayuan Persekuruan. Sampai kepada isu rasuah, saya bertanya mana lebih banyak, antara hakim-hakim yang terlibat dalam rasuah itu, hakim-hakim yang dilantik atau yang dipilih melalui pilihan raya? Jawabnya, “Hampir kesemuanya hakim-hakim yang dipilih melalui pilihan raya.”

Di akhir taklimat itu saya bertanya beliau, “Suppose you are given a chance to rewrite the U.S. Constitution, would you recommend that all judges be elected?” “No way,” jawabnya.

Mungkin juga ada aktivis yang mahukan aktivis-aktivis dilantik menjadi hakim. Jawapannya, seorang aktivis apa pun tidak layak menjadi hakim. Dia ada agenda. Dia hanya akan melihat sesuatu kes itu dari sudut perjuangannya. Dia tidak akan dapat melihatnya secara neutral. Dia tidak akan boleh berlaku adil.

Seorang Hakim Australia yang saya temui di satu persidangan antarabangsa berkata kepada saya mereka telah membuat satu kesilapan besar melantik aktivis sosial menjadi hakim. Keputusan-keputusan mereka memihak sebelah.

Kesimpulannya, sistem apa pun boleh disalahgunakan oleh orang yang mengendalikannya. Sistem pelantikan dan kenaikan pankat hakim-hakim yang ada sekarang sudah cukup baik. Apa yang perlu ialah adanya hormat menghormati antara Perdana Menteri dan Ketua Hakim Negara, antara Perdana Menteri dan Suruhanjaya Kehakiman, antara Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong dan kesemuanya hendaklah mematuhi Perlembagaan dan kovensyennya. Hakim-hakim pula perlulah mematuhi etikanya.

Pelantikan dan kenaikan pangkat hakim-hakim janganlah dilakukan atas asas kepentingan politik parti yang memerintah. Perdana Menteri hendaklah jangan mengulangi kesilapan-kesilapan seperi yang telah berlaku dalam sejarah perundangan negara kita bermula dengan era Tun Dr. Mahathir. Diharapkan beliau tidak akan mengulanginya dan Perdana-Perdana Menteri selepasnya tidak akan mengulangi kesilapan-kesilapan itu.
Kerajaan Pakatan Harapan baru membuat dua perubahan yang baik, iaitu ahli-ahli politik tidak lagi akan dilantik menjadi Chief Executive Officers badan-badan berkanun dan syarikat-syarikat milik kerajaan dan juga untuk menjadi duta. Janganlah selepas itu dibuat kesilapan yang lebih besar dengan memberikan mereka kuasa memilih calon-calon hakim. Cukuplah dengan kerosakan yang mereka telah lakukan.

[email protected] http://www.tunabdulhamid.my https://tunabdulhamid.me

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker