[VIDEO] Baki RM450 juta, buat kilang seluar dalam bolehlah – Ahli Parlimen Pendang

Menteri Kewangan Lim Guan Eng digesa untuk membentangkan kertas putih putih berkaitan jumlah sebenar kehilangan wang negara.

Ahli Parlimen Pendang (Pas) Awang Hashim berkata, beliau tidak boleh menerima kenyataan Guan Eng bahawa kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) dahulu hanya meninggalkan ‘sisa wang’ berjumlah RM450 juta sahaja.

“Seperti mana disebut duit yang tinggal ada RM400 juta lebih, baru-baru ini bila berlaku peralihan kuasa, sedangkan kalau RM400 juta lebih otak saya tak boleh terima.

“Kerana apa, sebulan nak bayar kakitangan awam RM8 bilion. Macam mana kita nak hidup dengan RM400 juta yang baki. Itu nak buat kilang seluar dalam bolehlah,” kata Awang dalam sidang Dewan Rakyat semalam.

Guan Eng sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan berjaya memenuhi semua komitmen kewangan bulanan khususnya pembayaran gaji dan pencen penjawat awam, termasuk pemberian bonus berjumlah RM8 bilion meskipun pentadbiran terdahulu hanya meninggalkan ‘sisa wang’ bernilai RM450 juta.

Guan Eng berkata, ada pihak tertentu masih percaya bahawa kerajaan lama diterajui BN menyerahkan berbilion ringgit dalam akaun wang tunai pada 30 April lalu, namun hakikatnya, kedudukan kewangan negara tidak seperti yang dicanangkan.

Guan Eng menjelaskan, bukan semua wang dalam akaun tunai boleh digunakan untuk perbelanjaan kerajaan kerana akaun tunai dan akaun pelaburan membentuk gabungan wang tunai yang dikutip, disimpan dan dilabur untuk tiga akaun berasingan.

“Saya minta Menteri Kewangan khususnya, bentangkan kertas putih kehilangan wang negara yang banyak disebut tetapi tak ada satu angka yang jelas,” tegas Awang ketika perbahasan menyokong RUU Akta Sewa Beli.-UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker