Ahli UMNO diminta bertenang kemungkinan Zahid didakwa

SEREMBAN 18 Okt. – Ahli UMNO diminta bertenang dan mengambil pendekatan rasional berhubung kemungkinan Presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ditahan dan didakwa di mahkamah esok.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, semua pihak diingatkan agar tidak terburu-buru membuat kenyataan dan tindakan serta menghormati pelaksanaan proses undang-undang dan menaruh keyakinan ia akan dilunaskan selari dengan keluhuran undang-undang.

Ujarnya, kepimpinan UMNO percaya perkara itu mesti dilihat secara terbuka dan objektif serta tidak seharusnya dispekulasi dan dijadikan modal untuk menabur pelbagai persepsi tidak berasas.

“Susulan perkembangan ini juga, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan mengadakan mesyuarat segera untuk membincangkan perkara ini dengan lebih mendalam khususnya bagi memutuskan hala tuju dan tindakan selanjutnya.

“Apa juga keputusan MKT akan menjadi pendirian dan panduan untuk semua ahli parti. Kepimpinan UMNO memberi jaminan penahanan ini tidak akan melemahkan atau menjadi halangan untuk meneruskan agenda pemulihan yang sedang dilakukan dalam parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad berkata, beliau dan rakan-rakan dalam UMNO ingin menzahirkan sokongan dan setiakawan yang mendalam terhadap Ahmad Zahid dan keluarganya dalam berdepan saat yang mencabar ketika ini.

Menurut sumber, Ahmad Zahid yang dipanggil memberi keterangan di Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 3 petang ini mungkin ditahan sebelum dibawa ke mahkamah, esok untuk pendakwaan.

Beliau diarahkan hadir bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana membabitkan yayasan milik keluarganya iaitu Yayasan Akal Budi.

Siasatan kes itu akan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001. – UTUSAN ONLINE

Utusan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker