Pelabur antarabangsa lupus RM1.05 bilion ekuiti tempatan minggu lalu

Share


Pelabur antarabangsa melupuskan RM1.05 bilion ekuiti tempatan daripada Bursa Malaysia minggu lepas, aliran keluar tertinggi dalam tempoh 16 minggu.

Menurut MIDF Research, Malaysia bagaimanapun masih menyaksikan tahap pergeseran asing kedua terendah minggu itu dalam kalangan empat pasaran ASEAN yang dipantau firma tersebut.

“Pelabur antarabangsa menjadi penjual bersih setiap hari sepanjang minggu itu.

“Aliran keluar RM227.2 juta pada Isnin tidak mengejutkan kerana pelabur bertindak balas terhadap pengumuman penamatan kontrak kerja-kerja bawah tanah MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn. Bhd. (MMC Gamuda) untuk Transit Aliran Massa Laluan 2 (MRT2),” jelas firma itu dalam laporan aliran dana mingguan di sini hari ini.

MIDF Research berkata, tahap jualan asing kemudian berlegar di bawah RM200 juta pada Selasa dan Rabu disokong oleh harapan bahawa proses tender semula antarabangsa bagi kerja-kerja bawah tanah MRT2 akan disemak boleh kerajaan.

“Bagaimanapun, pelabur antarabangsa kembali menjual RM327.9 juta ekuiti tempatan pada Khamis, tertinggi dalam sebulan selepas Wall Street mengalami kerugian terbesar semalaman dalam lapan bulan ketika syarikat-syarikat teknologi terus merosot digabungkan dengan kebimbangan kenaikan kadar faedah.

“Aliran keluar mengurang hampir separuh kepada RM173.8 juta pada Jumaat selari dengan pemulihan Bursa tempatan pada 1.3 peratus berikutan berita bahawa Presiden Trump mungkin berjumpa dengan Xi Jinping dalam sidang kemuncak G20 yang akan datang,” jelasnya.

Firma penyelidikan itu berkata, aliran keluar asing daripada Malaysia secara keseluruhan setakat Jumaat minggu lepas meningkat lebih tinggi pada RM9.7 bilion, mengimbangi lebih 90 peratus daripada aliran masuk RM10.3 bilion tahun lepas.

“Sementara itu, Malaysia masih mengekalkan kedudukan sebagai negara dengan aliran keluar asing kedua terendah dalam kalangan empat pasaran ASEAN yang kami pantau.

“Penyertaan pelabur asing, dana institusi tempatan dan pelabur dalam pasaran runcit adalah kukuh minggu lepas dengan purata nilai dagangan harian (ADTV) mingguan 20 peratus lebih tinggi berbanding minggu sebelumnya,” jelas MIDF Research. – UTUSAN ONLINE


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *