Dasar Kerajaan Yang ‘Flip Flop’ Punca Masalah Harga Dan Lambakan Sawit – Ahmad Maslan

Share

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Maslan meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakan yang dilakukan oleh kerajaan berhubung isu kejatuhan harga kelapa sawit dan lambakan kelapa sawit yang berlaku di negara ini semenjak kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Menurut beliau, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir ada menyebut di dalam parlimen bahawa negara China berhasrat untuk membeli 500 ribu tan kelapa sawit daripada Malaysia tetapi syaratnya harga pembelian tersebut ditentukan oleh negara tersebut.

“Saya diberitahu bahawa harga yang ditetapkan oleh negara China itu adalah amat rendah. Jadi sepatutnya apa yang dibuat oleh kerajaan hari ini ialah berbincang secara tuntas dengan kerajaan China tentang perkara ini dan dalam masa yang sama, tidak membuat dasar yang flip flop, sebagai contohnya pembatalan projek ECRL yang melibatkan kerjasama dengan negara tersebut, begitu juga dengan projek paip gas di Sabah.

“Tindakan yang dilakukan oleh kerajaan PH itu sebenarnya tidak menyenangkan perasaan negara China kerana syarikat yang terlibat itu adalah syarikat milik kerajaan China, dan ia bukan syarikat swasta.

“Jadi dengan dasar flip flop yang dibuat oleh kerajaan PH hari ini berhubung dua projek tersebut, saya rasa ia tentu ada hubung kait dengan penetapan harga yang amat rendah oleh negara tersebut dalam urusan pembelian sawit di negara ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam program Diskusi Dari Parlimen yang disiarkan secara langsung melalui mediaum facebook rasmi UMNO-Online semalam.

Tambah beliau lagi, selain daripada isu harga bahan komoditi itu yang jatuh menjunam, isu lambakan kelapa sawit juga dilihat satu perkara yang perlu diambil tindakan segera oleh kerajaan bagi mengatasi masalah ini.

“Teresa Kok ada memberitahu di dalam parlimen bahawa ada lambakan kelapa sawit. Ini bermakna permintaan kurang daripada penawaran. Dalam teori ekonomi sebenarnya mudah sahaja. Apabila permintaan kurang daripada penawaran, kerajaan kena terokai pasaran baru. Mereka kena tingkatkan permintaan.

“Jadi saya cadangkan semua duta Malaysia di setiap negara diberikan KPI untuk menjual sawit di negara tempat mereka menjadi duta. Jika semua negara yang ada duta kita, dapat kita tembusi dengan penjualan sawit negara kita, saya kira tentunya tidak ada lambakan atau lebihan kelapa sawit dalam negara kita dan harga kelapa sawit akan naik semula,” tegasnya.-MediaUMNO

UMNO ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *