Masa depan Umno – Que Sera, Sera

oleh Abdul Jalil Backer

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilihat lulus ujian awal sebagai Presiden Umno apabila berjaya melaksanakan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2018 tanpa sebarang kontroversi dan huru-hara.

Bagi parti yang sekian lama memerintah, ramai yang menjangkakan PAU 2018 akan menjadi satu medan yang panas dan penuh kemarahan perwakilan berikutan kekalahan besar parti tersebut dalam pilihan raya lalu.

Ahmad Zahid berjaya mewujudkan budaya politik baharu yang penuh kesedaran dan kesederhanaan dalam Umno. Kritikan dan ucapan dibuat dalam keadaan penuh semangat perjuangan dan iltizam untuk kembali mengukuhkan parti. Kehadiran mantan Presiden, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang disambut baik oleh perwakilan dan pucuk pimpinan Umno juga menunjukkan Umno tidak mengamalkan budaya ‘memijak’ mereka yang jatuh.

Di sebalik kehilangan kuasa di peringkat Persekutuan, kerusi dalam dewan penuh dengan perwakilan dan pemerhati sehingga ke penghujung. Malah ia lebih besar dari perhimpunan agung parti-parti dalam kerajaan hari ini.

Semangat perjuangan sebahagian besar ahli Umno biasa masih kekal kuat dan teguh. Yang longgar mungkin dalam kalangan sebahagian pemimpin yang sudah biasa berada di koridor kuasa.

Salah satu pembaharuan yang mungkin tidak disedari dalam ucapan Ahmad Zahid dan tiada dalam teks ucapan ialah janji beliau untuk memberikan kuasa memilih calon wakil rakyat Umno kepada bahagian dan cawangan.

Soal bagaimana menentukan pemilihan tersebut belum diputuskan, namun Umno mungkin boleh memikirkan mekanisme simulasi pemilihan calon pilihan raya kawasan dan membenarkan semua pengundi yang berminat mengundi calon yang disenaraikan dalam sesebuah kawasan Parlimen.

Ahmad Zahid juga menggariskan tujuh teras Umno di bawah kepimpinannya iaitu, membina keyakinan dan kepercayaan, menentang eksploitasi politik, memperkasakan parti, hak kuasa istimewa, muafakat politik, kerajaan menanti dan pengorbanan jiwa raga. Ini memberi banyak gambaran mengenai hala tuju Umno dalam masa tiga tahun mendatang.

Di sebalik semua ini, PAU 2018 turut diwarnai oleh pendedahan Ahmad Zahid bahawa ada usaha untuk mengharamkan Umno oleh pihak kerajaan, terutamanya oleh kumpulan elit politik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pendedahan ini turut disahkan oleh bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo dalam catatan akaun Facebook pada pagi esoknya. Beliau mendakwa Umno akan diharamkan menggunakan Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) kerana menerima wang dari akaun Mohd Najib Razak.

Malah Mohd Khir menulis agak pedas apabila menyatakan Umno tidak perlukan hala tuju baharu kerana ia bakal diharamkan. Menurut beliau, apa yang perlu dilakukan oleh Umno ialah memikirkan apakah yang perlu dilakukan pasca pengharaman tersebut.

Tulisan Mohd Khir ini sangat menarik kerana beliau dikatakan mempunyai hubungan baik dengan elit politik dalam Umno dan Bersatu terutamanya kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin. Apakah ini bayangan jelas bahawa Umno akan tetap diharamkan oleh Mahathir dengan apa cara sekali pun?

Secara logiknya Umno tidak wajar diharamkan kerana ia tidak terbabit dalam sebarang kegiatan jenayah dan keganasan seperti matlamat penggubalan AMLA. Jika ada kesalahan ia harus terhenti setakat Najib kerana beliau sahaja mempunyai kuasa dan maklumat mengenai dana yang disalurkan.

Namun kuasa di tangan Mahathir sentiasa sahaja dalam keadaan matlamat akan menghalalkan cara. Apa yang Mahathir dan sekutunya tidak nampak ialah sebahagian ahli Umno sudah benci beliau. Jika beliau mengharamkan Umno, maka seluruh ahli Umno akan membenci beliau. Justeru pengharaman Umno belum tentu akan menguatkan Bersatu secara langsung seperti yang difikirkan oleh Bersatu.

Pun begitu negara ini masih mempunyai proses undang-undang. Jadi sama ada Umno diharamkan atau tidak masih merupakan satu perkara masa depan yang bukan dalam kawalan Umno lagi.

Justeru jika ada ahli atau pemimpin Umno yang merasakan mereka perlu meninggalkan parti ini sebelum karam, silalah menyeberang segera. Dalam Umno masih ramai yang berjiwa merdeka dan besar yang akan sama-sama cuba menyelamatkan kapal ini dari karam walaupun sudah jelas taufan di hadapan.

Sehingga tiba takdirnya, ahli Umno harus terus berjuang sebagai sebuah parti besar orang Melayu dan Islam. Umno harus terus berjuang demi Islam, masyarakat Bumiputera, rakyat keseluruhan dan negara tercinta ini kerana itulah DNA parti sejak 1946.

Umno boleh gundah gulana memikirkan masa depan yang tidak pasti. Ingatlah bait-bait lagu Doris Day ini:

Que sera, sera,

Whatever will be, will be

The future’s not ours to see

Que sera, sera

What will be, will be

Que sera, sera, apa yang penting usaha untuk berjaya. Selebihnya serah kepada takdir ALLAH!

*Penulis ialah Presiden Angkatan Karyawan nasionalis (Akar)

Sinar

Related Articles

One Comment

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker