Kes Kevin Morais – Najib gesa dedah nama pegawai penjara tersebut.

Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan orang kena tuduh ketujuh kononnya beliau menawarkan RM3.5 juta kepadanya melalui seorang pegawai penjara supaya mengaku membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais.

Bekas Perdana Menteri turut mendesak orang kena tuduh tersebut iaitu S. Ravichandaran mendedahkan nama pegawai penjara yang dimaksudkannya.

Najib percaya, sekiranya pegawai didakwa itu wujud, sudah tentu beliau masih bertugas di penjara.

“Ravichandaran mesti menamakan pegawai tersebut dan satu kenyataan perlu direkodkan oleh pihak polis daripada pegawai penjara itu untuk menguji kebenaran dakwaan yang dibuat.

“Sekiranya Ravichandaran tidak dapat menyokong dakwaannya, saya menggesa pihak berkuasa untuk mendakwanya kerana sumpah bohong (perjury),” kata beliau dalam kenyataan, di sini malam ini.

Najib memberitahu, beliau difahamkan pendakwa raya mahu pun pasukan pembelaan di dalam kes tersebut tidak percaya terhadap dakwaan Ravichandaran itu.

Selain itu, Najib juga dimaklumkan bahawa mendiang Kevin Morais tidak pernah terlibat dalam siasatan atau menyelia kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau SRC International Sdn. Bhd. (SRC). – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker